Penggunaan sijil halal tanpa kebenaran JAKIM oleh sebahagian premis-premis makanan di Malaysia pada hari ini dilihat semakin hari semakin membimbangkan. Manakan tidak, ada sebahagian pengusaha premis-premis ini dilihat cuba mengelirukan pengguna Islam dengan mencipta sendiri logo halal bagi restoran mereka tanpa melalui prosedur yang sah.

Mengikut kepada manual pensijilan halal yang dikeluarkan oleh Bahagian Hab Halal JAKIM, sekiranya para pengusaha premis makanan di negara ini ingin memohon pensijilan halal bagi restoran mereka, maka mereka boleh berbuat demikian secara online melalui sistem MYeHALAL di www.halal.gov.my.  Setelah itu, para pengusaha dikehendaki menyerahkan segala dokumen sokongan kepada pihak JAKIM untuk disemak dan diluluskan. Setelah diluluskan, bayaran fi (yuran) akan dikenakan ke atas pengusaha untuk tempoh dua tahun dan ditetapkan mengikut Skim Pensijilan Halal Malaysia (SPHM) dan kategori industri.

Carta Aliran Permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang perlu diikuti oleh semua pengusaha premis restoran

Isu status pensijilan halal kembali hangat diperkatakan berikutan terdapat beberapa aduan daripada pengguna Islam tentang beberapa restoran-restoran mamak di negara ini yang diragui status halalnya. Bukan itu sahaja, beberapa aduan juga dilaporkan turut melibatkan beberapa buah restoran di seluruh Malaysia yang diragui tentang penggunaan logo halalnya.

Berikutan kes itu, KPDNHEP menasihatkan kepada semua pengusaha premis makanan di negara ini khususnya pengusaha restoran mamak yang tidak mempunyai SPHM supaya tidak memperdaya dan mengelirukan pengguna terutama orang Islam dengan menggantung ayat suci al-Quran serta tulisan jawi di premis mereka dengan niat untuk mengelirukan pengguna Islam. Perkara ini sememangnya menjadi satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan bawah Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) Akta Perihal Dagangan 2011. Jika didapati bersalah, denda akan dikenakan tidak melebihi RM5 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Restoran “mamak” di Seksyen 25, Shah Alam yang tular di media sosial baru-baru ini dilaporkan bukan pemegang SPHM yang sah

Walaupun sesetengah pihak menganggap perkara ini sebagai isu yang remeh, namun ia sangat memberikan impak negatif yang besar terhadap badan pelaksanaan hal ehwal Islam terutamanya JAKIM. Ini kerana sudah pasti ada yang beranggapan bahawa urusan yang berkaitan dengan hal ehwal agama Islam boleh dilakukan dengan sewenang-wenangnya. Bahkan, ada sesetengah pihak yang akan mengambil kesempatan sekiranya masalah ini tidak dipantau atau dikawal. Bukan itu sahaja, ia juga akan menimbulkan kesan yang lain seperti pengeluaran serta penjualan logo halal oleh pihak yang tidak bertanggungjawab secara berleluasa kepada pengusaha premis-premis makanan yang terdesak.

Selain itu, kesan terbesar yang boleh dilihat sekiranya perkara ini tidak dipantau adalah terhadap pengguna Islam itu sendiri. Hal ini kerana mereka akan mudah tertipu dengan penggunaan logo halal yang direka oleh pengusaha restoran tanpa diketahui status pengesahan halal restoran terbabit. Mereka dengan mudah sahaja beranggapan bahawa restoran itu diiktiraf halal sekiranya terpampang logo halal di hadapan dinding restoran.

Dalam perkara ini, kerajaan atau pihak penguasa perlu memainkan peranan yang lebih tegas dalam membendung permasalahan ini. Antara langkah-langkah yang boleh dilakukan dalam mengawal perkara ini adalah dengan mengetatkan syarat kepada pengusaha premis makanan dengan menghadkan penggunaan ayat al-Quran di premis makanan mereka. Ini bagi mengelakkan ia disalahgunakan oleh mereka untuk tujuan ‘pelaris’.

Selain itu, pihak JAKIM perlulah menyedia serta membekalkan logo halal yang mempunyai kod pengimbas. Ini bagi memudahkan pengguna Islam untuk memeriksa sama ada restoran tersebut mempunyai status sijil halal yang sah ataupun tidak melalui telefon pintar mereka. Melalui cara ini, ia akan memberi kesenangan kepada para pengguna Islam sebelum mereka memasuki premis terbabit.

Isu status pensijilan halal adalah isu yang rumit dan kompleks. Para pengusaha sepatutnya perlu bersikap lebih sensitif di dalam isu ini. Ini kerana bagi umat Islam ia akan menjadi sebahagian daripada darah daging mereka. Oleh itu, para pengusaha premis makanan dinasihatkan untuk tidak mengelirukan pengguna Islam dengan penggunaan serta bacaan ayat-ayat al-Quran di restoran mereka. Sekiranya benar premis anda sememangnya halal, maka anda diwajibkan untuk membuat permohonan sijil halal bagi mengelakkan sebarang keraguan yang akan timbul di kemudian hari.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here