Insiden kewujudan patung berhala yang diletakkan bersebelahan pintu masuk utama Surau Sabilul Huda pada 20 Februari yang lalu sememangnya menggemparkan penduduk Taman Pendamar Indah, Pelabuhan Klang. Manakan tidak, patung berhala yang diletakkan oleh individu yang tidak bertanggungjawab itu sedikit sebanyak telah mencemarkan kesucian surau berkenaan.

Realitinya, kejadian seumpama ini bukanlah yang pertama terjadi dan melibatkan rumah-rumah ibadat di negara ini. Pada tahun 2015, dua buah surau di Jasin, Melaka menerima nasib yang sama apabila kawasan surau terbabit dicemari dengan ketulan daging khinzir. Selain rumah ibadat umat Islam, rumat ibadat agama Kristian juga tidak terkecuali dari menerima bahananya apabila lapan buah gereja di sekitar Lembah Klang dibakar dalam satu serangan pada 8 Januari 2009 bermula 12.15 tengah malam.

Perbuatan meletakkan patung berhala di Surau Sabilul Huda oleh pihak tidak bertanggungjawab

Selain itu, penghinaan terhadap agama Islam pada hari ini juga dilihat semakin hari semakin melampaui batas. Insiden terbaru melibatkan penghinaan ke atas Nabi Muhammad S.A.W oleh seorang pengguna Facebook, Foo Sin Wai telah mencetuskan kemarahan seluruh umat Islam di negara ini. Berikutan kejadian tersebut, seluruh NGO Islam di serata Malaysia mengadakan bantahan secara aman bagi mendesak supaya pihak PDRM melakukan tangkapan dengan segera dan siasatan serta dakwaan dapat dilakukan secara serentak.

Tindakan sesetengah individu yang dengan sengaja mencemarkan rumah-rumah ibadat dan menyentuh sensitiviti sesuatu agama di negara ini sememangnya tindakan yang terkutuk kerana mereka dengan sengaja ingin mewujudkan ketegangan antara kaum di Malaysia. Sekiranya isu ini tidak dikawal dan dipantau, maka kesan-kesan seperti hilang rasa hormat ke atas sensitiviti agama tersebut akan berlaku. Ini kerana kurangnya rasa sensitif di dalam diri masyarakat pada hari ini yang menganggap semua perkara boleh dibuat bahan jenaka dan ini termasuklah nilai keagamaan.

Penghinaan terhadap agama Islam pada hari ini dilihat semakin lama semakin melampaui batas

Di samping itu, kesan lain yang boleh dilihat adalah ia boleh memberi pengaruh yang besar kepada generasi muda tentang betapa buruknya sesebuah agama tersebut. Hal ini kerana pengaruh media sosial yang sudah biasa menyebarkan fahaman yang salah mengenai sesebuah agama tersebut sehinggakan para golongan belia merasakan apa yang disebarkan oleh pihak lain di laman sosial tersebut adalah benar.

Oleh itu, pelbagai langkah harus dilakukan oleh pelbagai pihak tidak kira sama ada dari jabatan kerajaan, swasta mahupun NGO bagi menimbulkan kesedaran kepada masyarakat agar menjaga sensitiviti agama dan rumah ibadat. Antaranya ialah cadangan untuk meminda akta Kanun Keseksaan bagi memastikan hukuman setimpal dikenakan ke atas penghina agama. Hal ini perlu segera dilaksanakan oleh kerajaan dalam memastikan pemeliharaan sesuatu agama daripada dipermainkan dan dijadikan bahan jenaka.

Selain itu, badan-badan swasta dan NGO-NGO keagamaan di negara ini disarankan untuk melakukan satu jalinan kerjasama bagi mengadakan pelbagai forum ataupun sesi dialog keagamaan terhadap masyarakat di negara ini agar dapat memberikan kefahaman kepada mereka tentang betapa sensitifnya untuk menyentuh sensitiviti agama-agama yang terdapat di Malaysia ini. Bukan itu sahaja, di dalam sesi tersebut, pihak penganjur mahupun orang-orang keagamaan haruslah mengingatkan bahawa adalah menjadi satu kesalahan di dalam agama masing-masing untuk melakukan penghinaan ke atas agama penganut lain.

Justeru, rakyat dinasihatkan supaya mengelakkan diri dari terjebak dengan anasir-anasir negatif seperti melakukan penghinaan ke atas agama-agama yang terdapat di Malaysia dengan sengaja dan mencemarkan kawasan rumah-rumah ibadat mereka. Ini penting dalam memelihara keharmonian semua kaum dan agama yang terdapat di negara ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here