Perniagaan digital adalah perniagaan yang dijalankan secara atas talian melalui internet. Seseorang pembeli akan membuat pesanan untuk sesuatu barang melalui laman web atau online store yang disediakan oleh penjual tersebut. Mereka juga akan membuat bayaran secara online melalui kad kredit, perbankan internet, paypal dan sebagainya. Seterusnya penjual akan menghantar barang tersebut ke alamat pembeli melalui pos atau secara terus. Secara tidak langsung, pembeli tersebut sudah pun membeli barang yang diperlukan tanpa perlu membazirkan masa pergi beli kat kedai atau pasaraya.

Perniagaan digital memberikan kelebihan iaitu urusan jual beli dapat dijalankan dengan lebih mudah dan cepat di samping menjimatkan kos. Hal ini kerana pihak peniaga tidak perlu mempromosikan produk mereka di luar seperti mengadakan promosi di tepi-tepi jalan, pasar raya dan tempat-tempat awam yang lain. Peniaga juga boleh membuat promosi dengan mudah iaitu mengiklankan setiap produk mereka dengan menggunakan teknologi digital. Kerja-kerja promosi bukan sahaja dapat dijalankan dengan mudah, malahan kosnya dapat dikurangkan, antaranya kos pengangkutan dan tenaga kerja dalam aktiviti promosi. Keadaan ini turut memudahkan pelanggan dalam urusan pembelian di mana pelanggan tidak perlu lagi membuang masa untuk membuat tempahan di kedai tetapi mereka boleh membuat tempahan melalui teknologi digital sahaja.

FashionValet salah sebuah laman fesyen berkonsepkan perniagaan digital terbesar di Asia Tenggara

Pasaran bagi perniagaan digital tentunya dapat dikembangkan dengan cara yang meluas ke serata dunia. Produk dari Malaysia seperti pencuci muka berkualiti dengan harga yang murah bukan sahaja tertumpu dalam negara sahaja tetapi juga boleh diluaskan pasarannya ke luar negara seperti Indonesia, Filipina, Singapura, India, dan Amerika Syarikat. Penjualan barangan ke luar negara bukan sahaja dapat memperkenalkan jenama produk Malaysia tetapi juga memberikan keuntungan besar di samping meningkatkan ekonomi negara. Hal ini kerana wujudnya pertukaran mata wang asing dalam aktiviti jual beli antara peniaga dari negara ini dengan peniaga dari luar negara.

Sehubungan dengan itu, di antara kejayaan perniagaan yang berkonsepkan digital antaranya Fashion Valet (FV) yang merupakan salah satu laman fesyen dalam talian terbesar di Asia Tenggara untuk pakaian wanita Muslimah merancang mengembangkan lagi pasarannya di dalam negeri dan seluruh dunia. FV melakukan jualan menerusi pangkalan secara digital termasuk laman sesawang syarikat, Facebook serta Instagram sehingga mengaut keuntungan yang tinggi.

Selain itu, perniagaan Naelofar Hijab juga menggunakan perniagaan digital untuk mempromosi dan menjual tudung sehingga mengaut keuntungan yang besar serta mampu memenuhi permintaan semasa. Malah perniagaan ini semakin berkembang sehingga dieksport ke lebih 30 buah negara termasuk Singapura, Brunei, London, Australia, Belanda dan Amerika Syarikat. Ini membuktikan penjualan tudung melalui perniagaan digital mampu mencatatkan pertumbuhan yang sangat memberangsangkan serta menghasilkan pendapatan yang lumayan.

Justeru, kerajaan sewajarnya mengurangkan cukai yang berganda dalam Belanjawan 2020 kepada usahawan-usahawan khususnya bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menggunakan perkhidmatan pendigitalan pada tahun pertama operasi berbanding geran teknologi konvensional. Secara tidak langsung, ia membantu mengurangkan beban, meningkatkan kecekapan serta mengembangkan perniagaan mereka pada masa akan datang.

Dana Transformasi Pendigitalan Industri RM3 bilion mempertingkatkan pengeluaran dan daya saing perniagaan Malaysia

Malah kerajaan juga menyediakan Dana Transformasi Pendigitalan Industri RM3 bilion di bawah Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) untuk memacu penggunaan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan, automasi, data besar dan robotik dalam kalangan syarikat Malaysia. Ini mampu membantu menambah baik penggunaan teknologi bagi mempertingkatkan pengeluaran dan daya saing perniagaan Malaysia.

Oleh itu, perniagaan digital adalah platform untuk berkembang di peringkat global dan ia perlu direbut oleh semua pihak khususnya usahawan generasi baru. Memang mudah, kita hanya meletakkan barang untuk dijual dalam perniagaan digital tetapi banyak perkara perlu diteliti, terutama membuat kajian pasaran apa yang diperlukan oleh pengguna agar ianya terus bergerak secara berterusan dari semasa ke semasa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here