Kebelakangan ini, banyak kes-kes rakyat Malaysia yang ditipu dengan tawaran lumayan untuk bekerja di luar negara seperti Australia, New Zealand, Korea Selatan dan lain-lain lagi. Tetapi ia menimbulkan persoalan kenapa rata-rata rakyat Malaysia keluar untuk mencari pekerjaan di luar negara berbanding di negara sendiri dan kebanyakannya adalah dari golongan belia.

Kebanyakkan rakyat Malaysia yang memilih untuk bekerja di luar negara adalah disebabkan faktor ekonomi negara. Ramai beranggapan ekonomi negara tidak stabil dan menentu berbanding negara jiran seperti Singapura. Malah, kebanyakan rakyat Malaysia ditawarkan dengan gaji mengikut mata wang asing yang mempunyai nilai tinggi apabila ditukarkan kepada mata wang Ringgit.

Selain itu, kadar inflasi yang teruk melanda Malaysia juga menyebabkan rakyat Malaysia ingin bekerja di luar negara. Ramai pekerja yang mempunyai kelayakan seperti diploma dan ijazah ditawarkan dengan gaji lingkungan RM1,500-RM2,500 mengikut pengalaman. Mereka juga merungut kerana gaji mereka tidak naik serta cukup makan sahaja dan terbeban dengan kos sara hidup tinggi.

Rakyat Malaysia memilih untuk bekerja di luar negara kerana gaji lumayan dan inflasi tinggi di Malaysia

Apabila rakyat Malaysia mula mencari alternatif untuk bekerja di luar negara, adakah ia merupakan tanda ekonomi Malaysia tidak berada dalam keadaan baik? Walau bagaimanapun, ia tidak boleh dijadikan sebagai punca kenapa kebanyakan rakyat Malaysia memilih untuk bekerja di luar negara. Ini kerana kebanyakan mereka tidak mendapat peluang pekerjaan kerana jumlah permohonan untuk mengisi kekosongan kerja sangat tinggi sedangkan jumlah kekosongan hanya sedikit dan majikan juga lebih rela menaikkan pangkat pekerja sedia ada kerana mempunyai pengalaman dari mengambil pekerja baru.

Di samping itu juga, kebanyakan pekerjaan di Malaysia tidak menawarkan pekerjaan tetap dan hanya menawarkan tempoh percubaan atau kontrak dari enam bulan hingga setahun. Apabila tempoh percubaan atau kontrak habis, mereka tidak ditawarkan pekerjaan dan terpaksa mencari kerja lain kerana tiada ‘orang dalam’ di sesebuah syarikat.

Oleh kerana itu, kerajaan perlu melihat perkara ini secara serius bagi memastikan tahap migrasi rakyat Malaysia yang mencari pekerjaan di luar negara dapat diminimakan. Kerajaan perlu memastikan syarikat-syarikat di Malaysia dapat memperluaskan peluang pekerjaan dengan memperbanyakkan pengkhususan dalam sektor minyak dan gas, diikuti oleh sektor kewangan dan perakaunan, perkhidmatan perniagaan, komunikasi serta sektor elektronik. Ini boleh memberi peluang kepada graduan lepasan universiti untuk tidak mencari peluang pekerjaan di luar negara dan dapat menyumbang tenaga serta khidmat di negara sendiri.

Kerajaan perlu memandang serius penghijrahan rakyat Malaysia ke luar negara untuk bekerja

Kerajaan juga perlu memastikan pelajar-pelajar tajaan Malaysia yang menuntut di universiti dalam dan luar negara untuk berkhidmat dengan kerajaan atau mana-mana syarikat awam bagi mengelakkan pelajar-pelajar cemerlang ini diambil bekerja oleh syarikat konglomerat di negara tempat mereka belajar sebelum mereka menamatkan pengajian lagi.

Justeru, perkara ini perlu diberi perhatian oleh ramai pihak termasuk kerajaan kerana negara bakal kerugian tenaga kerja yang berpotensi memajukan negara jika khidmat dan pengetahuan mereka digunakan oleh negara luar. Pelbagai sektor pekerjaan yang terdapat dalam negara ini boleh diisi dengan tenaga kerja tempatan tanpa perlu mengharapkan pekerja asing. Memang tidak boleh dinafikan peluang pekerjaan di negara luar sangat menarik perhatian kerana tawaran gaji lumayan, tetapi tiada negara lebih baik dari negara sendiri untuk berkerja dan potensi untuk negara berkembang maju juga lebih baik dilaksanakan dengan pekerja tempatan sendiri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here