Trend mengubahsuai motosikal jenis Yamaha Y15ZR atau lebih dikenali sebagai Ysuku ini semakin diikuti oleh masyarakat hingga golongan artis juga terjebak dalam modifikasi kapcai ini. Tetapi apa yang menjadi masalah adalah peminat motosikal Ysuku ini menggunakan motosikal mereka dalam perlumbaan haram berbanding sekadar mencantikkan Ysuku mereka sahaja.

Isu ini semakin mendapat perhatian apabila beberapa golongan artis seperti Dato’ Alif Syukri, Zizan Razak, Shuib Sepahtu dan lain-lain melakukan modifikasi Ysuku milik mereka dan menayangkan motosikal mereka di siaran YouTube mereka. Tujuan mereka hanyalah sekadar menaikkan rating dan jumlah penonton siaran YouTube mereka sahaja.

Trend artis mengubahsuai motosikal ini turut mempengaruhi orang ramai

Di samping itu, motosikal jenis Ysuku ini mendapat minat golongan muda kerana faktor kapasiti enjin yang tinggi untuk motosikal jenis kapcai iaitu 150 cc. Dengan kelajuan mencecah 140km/j untuk Ysuku standard, ianya menarik minat golongan pelumba haram untuk melakukan modifikasi kelajuan terhadap Ysuku mereka hingga mencecah 180km/j.

Mereka melakukan beberapa pengubahsuaian yang telah melanggar spesifikasi yang ditetapkan oleh pihak berkuasa seperti mengubah blok enjin yang lebih besar, menukar Unit Kawalan Enjin (ECU) motor bagi menambah kelajuan, ekzos dan lain-lain. Dengan kos modifikasi mencecah RM3,000 hingga RM5,000, ia tidak akan menjadi masalah kepada pengguna Ysuku ini dek kerana minat mereka terhadap kelajuan.

Di sebabkan itu lah, pihak Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang memerhati trend modifikasi Ysuku ini. Mereka akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pemilik yang mengubahsuai motosikal mereka untuk tujuan perlumbaan dan akan menyita motosikal mereka.

Selain itu, pihak JSPT dan JPJ juga perlu memantau bengkel-bengkel yang melakukan modifikasi ini kerana mekanik-mekanik inilah yang memberi cadangan modifikasi terhadap pemilik Ysuku ini. Malah, mereka juga memberi tawaran terhadap barangan aksesori, alat ganti dan komponen dalaman motosikal Ysuku yang tidak mengikut spesifikasi.

JSPT dan JPJ akan memantau motosikal yang diubahsuai untuk perlumbaan haram

Pemantauan terhadap pemilik Ysuku dan bengkel yang membuat modifikasi tersebut adalah penting jika pihak berkuasa mahu mengelakkan perlumbaan haram berlaku. Tetapi pihak berkuasa juga perlu memantau pemilik motosikal jenis lain juga dan tidak tertumpu kepada Ysuku sahaja. Ini kerana terdapat juga model motosikal jenis Honda dan Benelli mempunyai kapasiti enjin yang sama seperti Ysuku serta terlibat dalam perlumbaan haram.

Maka, bagi pemilik Ysuku mereka sepatutnya mematuhi peraturan yang telah ditetapkan JSPT dan JPJ bagi mengelakkan motosikal mereka disaman atau disita. Walaupun tujuan mereka melakukan modifikasi hanya untuk mencantikkan motosikal, orang lain juga boleh menggunakan alasan yang sama sedangkan mereka terlibat dalam perlumbaan haram.

Bagi golongan artis pula, mereka harus berhati-hati dengan kandungan yang mahu dipaparkan dalam media sosial kerana ia boleh memberi pengaruh kepada pengikut mereka. Kadang kala mereka tidak sedar tentang kandungan tersebut boleh mengakibatkan kesalahan terhadap undang-undang sedangkan mereka hanya mahu meningkatkan rating sahaja.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here