Baru-baru ini Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah mengumumkan bahawa mulai 2 Mei 2019, semua pehomon yang ingin membuat pertukaran butiran alamat pada kad pengenalan perlu menyediakan beberapa dokumen sokongan. Antara dokumen yang perlu disediakan oleh pemohon adalah kad pengenalan asal pemohon, bil utiliti dan cukai pintu. Namun, sekiranya pemohon tidak dapat mengemukakan dokumen tersebut, pemohon juga boleh mengemukakan surat pengesahan daripada ketua kampung, majikan atau perjanjian sewaan bagi menyokong dan membuktikan permohonan penukaran alamat tersebut.

Prosedur baharu ini akan dilaksanakan berikutan terdapat kes yang melibatkan 50 hingga 100 orang telah menggunakan alamat yang sama untuk mendapatkan kad pengenalan. Selain itu, langkah ini juga bertujuan untuk mengelakkan daripada individu tidak bertanggungjawab menggunakan maklumat tidak sahih pada kad pengenalan. Ia juga sebagai salah satu langkah oleh JPN bagi menangani isu salah guna MyKad oleh sesetengah pihak.

Kerajaan tidak iktiraf individu miliki satu kewarganegaraan

Pelaksanaan prosedur ini dilihat boleh mendatangkan kesan positif dari sudut politik. Hal ini kerana langkah ini boleh mengatasi salah satu daripada kebimbangan beberapa pihak sebelum ini berhubung kejadian terdapat pengundi dipindahkan menjelang pilihan raya. Ia berikutan pada pilihan raya yang lepas, berlakunya pertukaran alamat dan pendaftaran pengundi baru dengan jumlah yang besar dalam tempoh yang singkat sekaligus ia telah menimbulkan keraguan. Ini bermakna prosedur ini akan dapat mengelakkan berlakunya perpindahan alamat pengundi menjelang pilihan raya.

Selain itu, sekiranya pengundi menggunakan alamat yang tidak sahih, ia juga akan menyukarkan urusan agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam urusan mengundi. Sementara itu, terdapat juga individu lain yang mengambil kesempatan apabila mempunyai kad pengenalan lebih dari satu atas tujuan untuk melakukan jenayah. Sebelum ini, JPN juga telah mengesan beberapa permohonan alamat tetapi mendapati bahawa kawasan itu adalah tanah kosong tanpa rumah. Sekiranya hal ini terus berlaku, ia sudah pasti akan menyukarkan pihak berkuasa untuk membuat pengesanan individu dalam siasatan polis.

Sehubungan dengan itu, usaha JPN dalam menangani permasalahan salah guna kad pengenalan telah mendapat respon positif daripada segelintir pihak namun ia bertentangan pula dengan pandangan netizen yang rata-rata kurang setuju dengan prosedur ini. Berdasarkan komen-komen di media sosial facebook, mereka tidak bersetuju dengan prosedur baharu ini kerana ia menyukarkan mereka dalam menyediakan dokumen sokongan tersebut.

Walau bagaimanapun, kerajaan dan JPN sendiri perlu meneruskan prosedur ini kerana ia adalah salah satu langkah untuk mencegah jenayah yang melibatkan salahguna kad pengenalan. Walaupun ada pihak yang berpendapat ia satu prosedur yang remeh namun ia sebenarnya adalah langkah wajar yang perlu diambil kerajaan dalam menangani permasalahan salahguna ini.

Jenayah salahguna kad pengenalan perlu ditangani segera

Selain itu, ia juga satu usaha dalam memastikan tidak ada pihak lagi yang mengambil kesempatan melakukan jenayah salahguna ini. Di samping itu, langkah ini juga adalah untuk memastikan tidak ada pihak lain yang menjadi mangsa akibat teraniaya dengan sindiket yang memalsukan kad pengenalan mereka seperti menggunakan untuk urusan pinjaman bank.

Justeru itu, adalah wajar sekiranya kerajaan meneruskan usaha seperti ini dengan lebih tegas walaupun ia berkemungkinan mendapat tentangan daripada sesetengah pihak. Ini kerana untuk memastikan negara kita tidak terancam oleh pihak tertentu. Dalam hal ini masyarakat kita juga perlu lebih memahami bahawa usaha kerajaan ini untuk kebaikan masa panjang di mana keamanan negara perlu terus di jaga dalam pelbagai aspek.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here