Pertengahan Jun lalu, rakyat Malaysia dikejutkan dengan 14 kematian yang melibatkan Orang Asli suku Batek di Aring 5, Kuala Koh, Kelantan. Kematian yang pada awalnya tidak diketahui punca sebenar membuatkan penduduk Orang Asli di sekitar itu trauma dan mula membuat keputusan untuk berpindah.

Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia memutuskan untuk melakukan ujian dan siasatan berhubung kes kematian yang melibatkan penduduk Orang Asli ini. Hasil daripada ujian makmal itu, punca kematian yang menyebabkan mangsa mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan adalah disebabkan wabak (measles) demam campak.

Wabak Measless (demam campak) yang menyerang penduduk Orang Asli di Kelantan

Terbaru wabak Chikungunya yang menyerang negeri Kedah. 15 orang penduduk negeri itu disahkan positif wabak berkenaan. Wabak ini juga seperti sama seperti wabak denggi dan Zika yang dibawa oleh nyamuk pembawa jangkitan, nyamuk Aedes.

Seterusnya wabak penyakit bawaan kencing tikus (leptospirosis), influenza, Japanese encephalitis (JE) dan penyakit anjing gila (rabies) terus menggusarkan rakyat Malaysia. Cara penyebaran penyakit ini begitu cepat dan mudah, maka langkah pencegahan dan pengawalan perlulah dilaksanakan secara holistik.

Setiap wabak penyakit atau virus yang merebak di negara ini adalah berpunca daripada diri kita sendiri. Seperti wabak measless, faktor penyumbang kepada penularan jangkitan demam campak dalam komuniti Orang Asli kerana liputan imunisasi measless di kalangan mereka masih lagi berada di tahap yang rendah iaitu hanya 61.5 peratus bagi suntikan dos pertama vaksin Measless-Mumps-Rubella (MMR) dan 30 peratus bagi suntikan kedua.

Maka, kerajaan perlu mendidik rakyat Malaysia mengenai kepentingan vaksin untuk kesihatan mereka. Bukan sahaja mendidik, malahan kerajaan perlu menyediakan prasarana atau perkhidmatan klinik yang berdekatan dengan penduduk-penduduk kampung seperti di sekitar komuniti Orang Asli ini supaya mereka menerima suntikan vaksin.

Sama juga seperti penularan wabak-wabak penyakit yang lain. Kebanyakan daripada penularan virus denggi dan kencing tikus sering kali dikaitkan dengan persekitaran kotor, penempatan yang sesak dan padat juga kekerapan Malaysia dilanda banjir kilat disebabkan sistem perparitan yang kurang memuaskan.

Persekitaran yang kotor menyumbang kepada penularan wabak penyakit

Sikap rakyat Malaysia untuk menjaga kebersihan sistem saluran air seperti longkang, parit dan sungai masih lagi di tahap yang rendah. Walaupun kebanyakan virus-virus ini masih boleh dikawal dengan langkah pencegahan dan pengawalan berkesan, namun rakyat Malaysia perlu dididik untuk menyedari bahawa kesan akibat tidak menjaga kebersihan mampu menularkan wabak penyakit yang akan mengancam nyawa manusia.

Penyebaran virus atau wabak penyakit merupakan satu ancaman kepada komuniti sesuatu masyarakat. Ianya boleh menjejaskan fizikal dan mental mangsa yang terkena wabak penyakit. Oleh itu, pentingnya menitikberatkan faktor kebersihan dan kesedaran mengenai vaksin di dalam sesuatu masyarakat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here