Pada 7 Mei lalu, negara kecoh dengan arahan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan kepada semua pengusaha kedai makan dan restoran di seluruh negeri tersebut supaya menutup operasi perniagaan mereka selama satu jam setengah bermula dari pukul 8.30 malam sehingga pukul 10.00 malam.

Arahan tersebut dikeluarkan Setiausaha Kerajaan Negeri melalui satu notis bertarikh 6 Mei 2019 dan berkuatkuasa serta-merta. Notis yang ditandatangani oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan) Adnan Hussin itu juga mengarahkan agar semua pihak berkuasa tempatan (PBT) mengeluarkan arahan kepada pengusaha kedai makan dan restoran di kawasan masing-masing. Arahan ini dikeluarkan bertujuan bagi menghormati bulan Ramadan dan menggalakkan umat Islam menunaikan sembahyang sunat terawih secara berjemaah di masjid atau surau.

Apa yang pasti selepas arahan tersebut dikeluarkan, ia telah mengundang pelbagai reaksi daripada pemimpin dan juga rakyat di negara ini. Ada yang menyokong dan tidak kurang juga ada yang membantah arahan tersebut. Namun, sebilangan besar daripada mereka menggesa agar arahan itu ditarik balik. Ini berikutan waktu tersebut merupakan kemuncak bagi para peniaga meraih pendapatan di bulan Ramadan setelah waktu siangnya tidak menjalankan operasi perniagaan.

Antara sebahagian komen para netizen yang membantah arahan ini dan menyifatkan arahan ini sangat ‘kejam’ kepada pengguna dan peniaga di negeri tersebut

Menurut seorang penduduk tempatan, Nurul Syamimi Mohd Raduan berkata arahan itu tidak relevan dan akan menjejaskan pelbagai pihak termasuk pengguna dan peniaga. Tambahnya, arahan menutup kedai makan ketika waktu solat tarawih ini tidak munasabah kerana ia hanya melibatkan tuntutan fardu kifayah dan boleh dilakukan secara bersendirian di rumah. Seorang lagi pengguna, Adrian Zailan Abdul Rahman berkata beliau berharap kerajaan negeri membuat kajian terlebih dahulu sebelum mengeluarkan arahan itu. Hal ini kerana ia akan menyusahkan semua pihak khususnya para pelancong dan musafir yang datang ke negeri Kelantan untuk menikmati makan malam mereka.

Sementara itu, bagi Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berharap larangan operasi premis makanan bermula pukul 8.30 malam sehingga 10 malam di Kelantan sepanjang Ramadan ditarik balik. Ini kerana arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan Pas Kelantan itu dilihat telah mengganggu keberkatan bulan Ramadan yang menggalakkan umat Islam mencari rezeki yang halal dan bukannya dihalang. Bagi Datuk Mohd Alwi Che Ahmad yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kok Lanas berpendapat kerajaan negeri perlu mengkaji semula arahan tersebut. Hujahnya, solat Terawih merupakan amalan sunat yang tidak diwajibkan dalam Islam dan arahan itu wajar dikenakan pada waktu Zohor hari Jumaat.

Dalam perkara ini, terdapat pro dan kontranya jika arahan ini dilaksanakan. Sekiranya arahan ini wajar dilaksanakan maka beberapa faktor perlu diambil kira. Sebagai contoh, ia mungkin akan menganggu ekosistem pelancongan di negeri tersebut. Ini kerana kebanyakan pelancong yang melawat ke negeri Cik Siti Wan kembang tersebut hanya semata-mata untuk menikmati kepelbagaian rasa makanan tempatan negeri itu.

Notis arahan penutupan kesemua premis makanan yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri Kelantan pada 6 Mei yang lalu namun ditarik balik dan digantikan dengan notis ‘galakan’

Namun, ia dilihat wajar dilaksanakan apabila kerajaan Negeri Kelantan sendiri mempunyai niat yang baik dalam menggalakkan para rakyatnya untuk mengejar pahala mengerjakan solat sunat terawih yang berlipat kali ganda terutama sekali di bulan Ramadan. Ia sekaligus mengurangkan aktiviti yang tidak bermoral seperti budaya lepak di kalangan para belia.

Walau bagaimanapun, arahan penutupan sementara premis makanan di seluruh negeri itu kemudiannya ditarik balik dan digantikan dengan notis ‘galakan’. Hal ini kerana ia belum diputuskan dan kaedah pelaksanaannya masih lagi di dalam peringkat perbincangan kerajaan negeri Kelantan. Namun, kerajaan negeri akan tetap mengarahkan PBT memberi notis galakan kepada peniaga terlebih dahulu dan bukan berbentuk arahan.

Justeru, kerajaan negeri disarankan untuk mengkaji dengan sedalam-dalamnya kewajaran pelaksanaan kaedah ini di negeri tersebut agar tidak membebankan para pengguna dan menyusahkan para peniaga tetapi dalam masa yang sama dapat mendidik rakyat negeri tersebut agar tidak membuang masa selepas waktu berbuka dan mengisi masa mereka dengan aktiviti kerohanian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here