Pada hari ini kita sering melihat lambakan jualan pelbagai produk kesihatan di laman-laman sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan beberapa laman sesawang yang lain. Jualan ubat-ubatan ‘online’ ini boleh dikatakan ibarat “cendawan tumbuh selepas hujan” apabila ada sahaja promosi-promosi yang dijalankan bertujuan untuk menarik para pelayar laman sosial khususnya kaum wanita yang sentiasa ingin kelihatan cantik dan bertenaga dengan menggunakan jalan pintas tanpa memikirkan risiko dan kesan sampingan yang bakal diterima.

Dalam hal ini, penjualan ubat-ubatan ‘online’ seharusnya dirujuk kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Ini kerana KKM berhak menentukan sama ada produk tersebut selamat untuk digunakan oleh pembeli ataupun tidak melalui beberapa penyelidikan dan kawalan yang dikenakan ke atas produk terbabit. Dengan cara tersebut, para peniaga ubat-ubatan ‘online’ tidak akan terlepas dari sebarang penipuan jualan produk yang menggunakan bahan-bahan terlarang dan merbahaya.

Kebanyakan produk kesihatan yang dijual atas talian diimport dari negara seberang

Apa yang boleh dikatakan, tiada jaminan keselamatan yang boleh diberikan terhadap penjualan ubat-ubatan ‘online’ kepada pengguna di negara ini. Hal ini kerana dianggarkan 95.6 peratus farmasi dalam talian di Malaysia beroperasi secara haram dengan 90 peratus daripadanya membekalkan ubat berdasarkan preskripsi tanpa preskripsi sah daripada doktor. Bukan itu sahaja, penjualan ubat ‘online’ ini secara langsung mengundang pelbagai risiko.

Antara risiko dan kelemahan dalam penjualan ubat-ubatan ‘online’ ini adalah dari segi keselamatan, kualiti dan keberkesanannya kepada pengguna tidak dapat dipastikan. Hal ini kerana perskripsi tentang produk terbabit yang tidak jelas untuk digunakan selain daripada senarai bahan-bahan yang digunakan ke dalam produk tersebut tidak disenaraikan.

Selain itu, risiko lain yang boleh dilihat adalah terdapat risiko pembelian produk palsu yang boleh menyebabkan penyakit seperti kegagalan fungsi buah pinggang dan hati serta kematian. Ini seringkali terjadi ke atas pengguna produk-produk kesihatan dan kosmetik “segera”. Malah, terdapat beberapa kes kematian akibat daripada penggunaan ubat-ubatan ‘online’ secara tidak sah. Mereka sanggup mempertaruhkan nyawa akibat ingin menjadi cantik dan sihat dengan segera tanpa melalui prosedur yang betul.

Penggunaan produk-produk kesihatan dan kosmetik tiruan akan menyebabkan gejala kerosakan buah pinggang, kegagalan fungsi hati dan radang kulit

Walaupun sudah terdapat pelbagai kes berkaitan dengan penggunaan ubat ‘online’, ia masih lagi tidak mampu memberikan pengajaran kepada rakyat Malaysia. Buktinya, para pengguna di negara ini masih lagi memberikan sambutan yang hangat kepada produk ubat-ubatan ‘online’ ini walaupun terdapat pelbagai program kesedaran yang dianjurkan oleh KKM berkenaan bahana membeli ubat-ubatan yang tidak mempunyai kelulusan daripada KKM dan Majlis Perubatan Malaysia (MMC).

Ternyata, strategik pemasaran yang digunakan oleh jurujual atas talian jauh lebih menarik perhatian pengguna berbanding program kesedaran yang dianjurkan oleh KKM. Ini kerana ‘testimoni-testimoni’ yang diiklankan jauh lebih meyakinkan para pengguna berbanding informasi yang dipaparkan oleh KKM berkenaan bahaya produk atas talian.

Ironinya, langkah yang lebih progresif diambil oleh KKM amatlah diharapkan ke atas penjualan ubat-ubatan secara atas talian. Ini kerana sudah terlalu banyak produk-produk kesihatan yang berada di pasaran tidak mengikut standard piawaian seperti yang ditetapkan oleh KKM dan MMC tetapi bebas dipasarkan tanpa pengawalan yang ketat. Perkara ini sememangnya akan mendatangkan kesan yang buruk kepada pengguna kerana ia akan menyebabkan kesihatan mereka terjejas dan lebih buruk ia mungkin akan menyebabkan kematian.

Justeru, rakyat Malaysia disarankan untuk meneliti terlebih dahulu maklumat mengenai produk-produk kesihatan yang berada di pasaran. Mereka juga dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat daripada doktor berkenaan produk tersebut sebelum menggunakannya. Ini penting dalam memastikan keselamatan mereka terjamin semasa menggunakan produk tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here