Undang-undang bagi menangani isu kebencian antara kaum dan agama sudah berada di dalam topik perbincangan Dr Mujahid Yusof. Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berharap agar undang-undang bagi mengawal ucapan kebencian itu dapat diperkenalkan segera di negara ini.

Sekilas pembacaan, matlamat undang-undang ini seakan-akan sama seperti Akta Hasutan 1948. Akta ini asalnya dibuat oleh British pada 1948 apabila Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan untuk mengekang penentangan kepada pemerintahan British.

Secara ringkas mana-mana individu yang menghasut untuk membangkitkan kebencian dan tidak taat setia kepada raja atau kerajaan, menghasut rakyat untuk mendapat perubahan dengan cara yang tidak sah, menghasut orang supaya benci kepada pentadbiran keadilan, menimbulkan perasaan tidak puas hati atau tidak setia di kalangan rakyat Malaysia dan mengembangkan perasaan permusuhan antara kaum akan didakwa di bawah Akta Hasutan 1948.

Perlukah undang-undang kawal ucapan ini diwujudkan?

Namun Dr Mujahid Yusof mahu adanya pindaan khas bagi menangani isu kebenciaan dari segi hubungan di antara kaum dan agama. Beliau beranggapan pindaan khas ini perlu berbanding dengan undang-undang lain yang meliputi bidang lebih luas.

Jika melihat pada keadaan semasa yang berlaku di negara kita, ini adalah masa yang tepat untuk kerajaan menimbangkan cadangan yang dikemukan oleh Dr Mujahid Yusof. Malaysia berhadapan dengan ketegangan hubungan di antara kaum dan agama. Konflik perkauman semakin kritikal.

Di media sosial, kebanyakannya berlumba-lumba mengeluarkan kenyataan yang boleh membangkitkan kebencian dan perkauman. Jika keputusan kerajaan memihak kepada pindaan undang-undang ini, bukan bermakna hak bersuara rakyat Malaysia adalah terhad.

Undang-undang pindaan khas untuk menjaga hubungan antara kaum dan agama di Malaysia

Hak bersuara masih lagi dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 10 (1) (a). Walau bagaimanapun, hak bersuara di Malaysia bukanlah suatu hak mutlak tetapi terbatas kepada peruntukkan undang-undang negara.

Kebanyakan rakyat Malaysia sering menganggap hak bersuara adalah milik mutlak mereka, maka mereka berhak untuk mengeluarkan apa-apa sahaja kenyataan tanpa memikirkan kesannya.

Pelaksanaan undang-undang ini perlu diberikan penekanan dari aspek penghinaan kaum dan agama. Kerajaan juga mungkin boleh menekankan hukuman yang lebih berat kepada ahli-ahli parlimen dan pegawai-pegawai yang mengeluarkan ucapan berbaur kebenciaan. Sebagai pegawai yang bekerja dengan kerajaan Malaysia, mereka sepatutnya lebih arif dan peka dengan setiap kenyataan yang bakal dikeluarkan.

Undang-undang kawal ucapan kebenciaan ini perlu dilaksanakan untuk mengekalkan keharmonian dan perpaduan negara. Rakyat kita sudah lupa bahawa Malaysia mempunyai penduduk yang berbilang kaum dan agama. Maka ada hati dan pihak yang perlu dijaga kerana berlainan sensitiviti. Pelaksanaan undang-undang ini mungkin akan ‘menggerunkan’ kepada sesiapa yang merasakan mereka terlalu ‘lantang’ dalam bersuara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here