Minggu lalu, heboh diperkatakan tentang keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk melaksanakan pengenalan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu tahun empat di semua sekolah bermula tahun depan. Ini susulan bantahan daripada pelbagai pihak antaranya Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) serta 13 ADUN daripada parti DAP.

Walau bagaimanapun, keputusan itu muktamad setelah KPM tetap dengan pendiriannya untuk melaksanakan pengenalan kepada tulisan khat bermula tahun depan. Selain KPM, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad juga turut menzahirkan pandangan yang sama apabila menyokong penuh tindakan kementerian terbabit. Ujarnya, penulisan khat adalah suatu seni agung yang mempunyai nilainya tersendiri. Malah kerajaan Malaysia tidak pernah sekali menghalang kaum lain untuk mengamalkan penulisan ibunda mereka termasuk mengajar kaum-kaum lain. Jadi, desakan untuk menghalang pelaksanaan tulisan khat ini adalah suatu langkah yang tidak wajar.

Dhong Zong dan Jiao Zong antara persatuan yang berkeras membantah pembelajaran tulisan khat

Jika diamati, tulisan khat atau jawi ini mempunyai martabatnya tersendiri dan diangkat menjadi tulisan teragung sepanjang zaman. Banyak negara-negara yang menjadikan tulisan jawi ini sebagai medium pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah mereka. Sebagai contoh, negara Brunei. Ya, memang diakui negara ini terkenal dengan unsur keIslamannya. Tetapi, apa yang cuba ditonjolkan di sini adalah cara mereka mengangkat martabat tulisan jawi untuk digunakan dalam urusan rasmi pentadbiran negara mereka.

Selain Brunei, penulisan jawi juga turut diangkat di negara lain seperti Indonesia, Filipina dan Thailand. Filipina misalnya, walaupun majoriti rakyatnya adalah penganut Kristian, tetapi kerajaan negara itu tetap tidak melarang rakyatnya mempelajari seni tulisan khat dan jawi dan perkara yang sama juga berlaku terhadap Thailand. Sekadar info, tulisan bahasa lain tidak dibenarkan sama sekali diaplikasikan di tiga negara berkenaan dan ini tidak terjadi di Malaysia. Itu antara satu perkara yang membuatkan Malaysia sungguh istimewa. Jadi, mengapa pihak tertentu ingin mempolemikkan isu ini?

Sebenarnya, banyak keistimewaan dan kelebihan sekiranya pemerkasaan tulisan jawi ini dilaksanakan dalam bidang pendidikan. Antaranya para pelajar dapat mengenali tulisan lain selain daripada tulisan ibunda mereka dengan lebih jelas. Hal ini akan dapat membantu mereka memahami dengan lebih jelas sekiranya mereka mengembangkan kerjaya di negara Timur Tengah pada masa depan.

Selain itu, pemerkasaan penulisan jawi dalam pendidikan juga dapat membantu para pelajar untuk menjalin hubungan silaturahim sesama sendiri dan sebagai bahasa yang ada kaitan unggul dan penting untuk jati diri. Maksudnya di sini, melalui tulisan jawi dan seni khat inilah yang menjadi penyambung silaturahim antara pelajar dari pelbagai kaum. Jangan terkejut sekiranya melalui penulisan, ia akan menguatkan perpaduan antara kaum di negara ini.

Semakin dibantah, semakin ramai orang bukan Melayu menyertai kelas seni khat

Ada yang mengatakan pengenalan tulisan khat dan jawi ini adalah agenda pihak konservatif di Malaysia. Tidak kurang juga ada yang secara semberono mengeluarkan kenyataan dangkal “ajar tulisan jawi sebab nak tarik orang masuk Islam”. Perlu diingatkan, tujuan KPM memperkenalkan pelaksanaan ini adalah sebagai usaha untuk pelajar sekolah mengenali warisan dan identiti negara selain meningkatkan semangat patriotism di kalangan mereka. Jadi, tiada isu untuk melakukan proses Islamisasi dan asimilasi budaya di dalam perkara ini. Tambahan pula, ia bukan diajar secara menyeluruh dan ia juga tidak akan dimasukkan dalam mana-mana peperiksaan.

Justeru, pihak-pihak yang berkenaan perlulah mengkaji perkara ini dengan sedalam-dalamnya sebelum membuat bantahan, janganlah “serbu” secara membabi buta. Penulisan jawi atau khat ini bukanlah suatu perkara yang baharu. Ia telah dimulakan semenjak zaman kedatangan Islam di Tanah Melayu dalam urusan rasmi kerajaan sebelum penjajah British menukarnya. Tulisan jawi tidak bersalah! Malah ia diangkat dan dijulang tinggi di negara-negara lain. Jangan disebabkan anda seorang Islamophobia, habis semua perkara berkaitan Islam anda ingin polemikkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here