Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam kenyataannya pada 22 Januari lalu menyeru kepada ibu bapa supaya mematuhi Jadual Imunisasi Kebangsaan dan tidak mempercayai propaganda yang tidak tepat mengenai keburukan vaksin seperti yang digembar-gemburkan di media sosial.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pihaknya menerima banyak maklumat yang tidak sahih berkaitan dengan vaksin di laman sosial pada masa ini. Malah, menurut beliau, terdapat golongan serta individu yang secara terang-terangan mempengaruhi orang awam untuk menolak vaksin dengan kebanyakan maklumat tidak sahih. Malah, ada juga dakwaan bahawa vaksin dan Program Imunisasi Kebangsaan yang dilaksanakan oleh kerajaan tidak memberi manfaat serta menimbulkan banyak kesan buruk.

Objektif utama pemberian vaksin adalah untuk mencegah penyakit berjangkit di kalangan kanak-kanak di Malaysia

Di Malaysia, terdapat 6 jenis kemudahan vaksin yang disediakan oleh kerajaan hari ini untuk kanak-kanak Malaysia di bawah kendalian KKM. Antaranya adalah Bacillus Calmette–Guérin (BCG), Hepatitis B, DTaP (perlindungan terhadap difteria, tetanus dan pertussis), MMR (vaksin demam campak, beguk dan rubella), Polio dan Human papilloma virus (HPV). Objektif utama program pemberian vaksin ini adalah untuk mencegah penyakit-penyakit berjangkit daripada merebak dalam kalangan masyarakat khususnya kanak-kanak negara ini. Selain itu, pemberian imunisasi ini juga boleh mencegah penyakit dan mengurangkan komplikasi yang boleh membawa kematian.

Berdasarkan kes yang direkodkan di klinik kerajaan seluruh Malaysia, bilangan kes penolakan vaksin yang dicatatkan pada tahun 2013 adalah sebanyak 637 kes dan jumlahnya semakin meningkat kepada 1,603 kes pada tahun 2016. Akan tetapi, pada tahun 2017 terdapat sedikit penurunan kes penolakan vaksin iaitu 1,404 kes berikutan usaha-usaha advokasi yang dijalankan oleh KKM secara meluas.

Mengapa wujudnya propaganda tentang keburukan vaksin? Persoalan ini sangat kompleks dan sukar untuk dirungkaikan. Namun, terdapat beberapa faktor yang boleh dikaitkan dengan kewujudan propaganda ini. Antaranya adalah terdapat sebahagian golongan “bijak pandai” yang merasakan bahawa suntikan vaksin ini terlalu merbahaya dan tidak halal kepada kanak-kanak serta beranggapan bahawa sistem imun seorang kanak-kanak tidak boleh mengendalikan vaksin.

Selain itu, terdapat sebahagian ibu bapa yang mempercayai bahawa makanan alternatif juga mampu memberikan kekuatan kepada sistem imunisasi anak-anak mereka. Akibatnya, ada di antara para peniaga makanan alternatif ini mengambil kesempatan untuk memutarbelit maklumat mengenai vaksin kepada pengguna di negara ini dan mempromosikan produk jualan mereka.

Sekiranya propaganda keburukan vaksin ini terus ditularkan tanpa pengawasan mana-mana pihak berwajib, nescaya beberapa kesan akan berlaku ke atas rakyat Malaysia. Di antara kesan-kesan yang bakal timbul adalah mungkin akan berlaku banyak penyakit berjangkit di kalangan kanak-kanak Malaysia dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan kes kematian.

Oleh itu, peranan kerajaan dalam memberikan kesedaran kepada para ibu bapa di negara ini perlu agar segala maklumat dan fakta mengenai kebaikan vaksin mudah difahami dan diterima. Antara langkah-langkah yang boleh diambil adalah seperti mengadakan Hari Kesedaran Vaksin di mana pada acara tersebut segala pemahaman mengenai kebaikan vaksin akan diberikan kepada para ibu bapa oleh pegawai perubatan.

Di samping itu, pengaruh media juga memainkan peranan dalam mempengaruhi emosi penonton. Justeru, pihak KKM perlu bekerjasama dengan stesen televisyen tempatan bagi menyediakan slot iklan kesihatan bagi memberi informasi yang lebih tepat berkenaan vaksin kepada para penonton. Malah, pihak KKM boleh bekerjasama bersama personaliti media sosial tempatan dalam menyediakan slot drama pendek berkenaan kepentingan vaksin di kalangan rakyat Malaysia.

Ibu bapa disarankan untuk mematuhi Jadual Imuninasi Kebangsaan di bawah kendalian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada setiap waktu

Ironinya, dengan kecanggihan teknologi masa kini, para ibu bapa seharusnya menjadi lebih bijak dalam menangani mitos-mitos keburukan vaksin. Para ibu bapa sepatutnya tidak bergantung kepada satu sumber sahaja. Mereka harus membuat lebih banyak kajian dan merujuk kepada pakar perubatan yang terlatih sekiranya terdapat kemusykilan di dalam isu vaksin ini.

Ingat, vaksin adalah penyelamat kepada sistem imun anak-anak anda. Ini kerana sebaik sahaja dilahirkan, sistem imun mereka bersedia untuk bertindak balas terhadap antigen dalam persekitaran mereka, ini menunjukkan bahawa sistem imun manusia adalah sangat kuat. Vaksinasi adalah cara yang mudah, praktikal dan berkesan untuk mencegah wabak dan penyakit. Sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab, ia adalah tugas anda untuk menangani bahaya yang ditimbulkan oleh penyakit daripada risiko vaksin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here