Usul pembahas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) untuk mengekalkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri hingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) amat bertepatan. Cadangan daripada perwakilan yang menggambarkan suara akar umbi ahli parti itu perlu disambut baik, apatah lagi ia adalah cadangan yang baik. Tiada sebarang keburukan kepada negara sekiranya Tun Dr Mahathir yang juga Pengerusi PPBM, kekal sebagai Perdana Menteri untuk tempoh sepenggal. Tun Dr Mahathir adalah orang yang berpengalaman dalam kerajaan, pernah menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun sebelum ini dan sudah menghadapi pelbagai dugaan serta cabaran ekonomi dan lain-lain. Sudah pasti pengalaman dan kepakaran Tun Dr Mahathir Mohamad amat diperlukan bagi menaikkan kembali kegemilangan Malaysia, khususnya dalam aspek ekonomi.

Baru-baru ini, beberapa perwakilan negeri PPBM telah mencadangkan supaya Tun Dr Mahathir Mohamad kekal sebagai Perdana Menteri sekurang-kurangnya sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 akan datang. Cadangan itu kali pertama dibangkitkan oleh perwakilan Kelantan yang juga Ketua Bahagian PPBM Bachok, Zulkifli Zakaria, yang mahu Tun Dr Mahathir yang juga Pengerusi PPBM, kekal sebagai Perdana Menteri sehingga PRU-15. Perkara itu turut disahkan seorang lagi perwakilan yang juga Ketua Bahagian PPBM Selayang, Selangor, Zulkifli Mohamad yang berkata sekurang-kurangnya lapan perwakilan negeri mencadangkan supaya Tun Dr Mahathir kekal sebagai Perdana Menteri sehingga PRU-15. Malah setiap kali cadangan supaya Tun Dr Mahathir kekal sebagai Perdana Menteri sehingga PRU-15 diusulkan, semua perwakilan berdiri, memberi tepukan sambil melaungkan ‘Hidup Tun’ sebanyak tiga kali.

Perhimpunan Agung Tahunan PPBM Kali Kedua 28 – 30 Disember 2018 di PICC, Putrajaya

Justeru itu, Tun Dr Mahathir Mohamad satu-satunya Perdana Menteri yang paling lama mentadbir negara dan sekaligus merupakan pemimpin negara yang paling lama di Asia Tenggara memegang jawatan tersebut. Beliau telah berjaya menerajui negara ke arah arus pemodenan yang amat pantas dan menjadikan Malaysia gah di mata dunia. Beliau telah dikaitkan dengan pembangunan pelbagai projek mega seperti Kuala Lumpur City Centre (KLCC), Menara Berkembar PETRONAS, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Koridor Raya Multimedia (MSC). Tun Dr Mahathir Mohamad membuka negara kepada pelaburan asing, mengurangkan halangan kepada perdagangan antarabangsa, menswastakan beberapa agensi dan perkhidmatan kerajaan, di samping mewujudkan infrstruktur fizikal bertaraf dunia. Di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir, Malaysia berkembang menjadi salah satu ekonomi yang paling makmur dan dinamik di Asia Tenggara, dengan sektor industri yang berkembang maju, kelas menengah yang membesar, dan kualiti hidup yang meningkat. Malaysia juga memainkan peranan yang lebih aktif di arena antarabangsa, dan bertindak sebagai suara bagi negara-negara membangun di Asia dan Afrika. Tun Dr Mahathir Mohamad juga melancarkan Wawasan 2020 pada tahun 1991, satu rangka kerja bagi menjadikan Malaysia sebagai negara maju pada tahun 2020. Atas kejayaan beliau sebagai pemimpin, beliau diberi gelaran ‘’Bapa Pemodenan Malaysia’’.

Perwakilan parti yang menghadiri Perhimpunan PPBM di PICC, Putrajaya baru-baru ini.

Oleh itu, cadangan mengekalkan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri sehingga PRU-15 suatu cadangan terbaik kerana Tun Dr Mahathir memerlukan ruang dan peluang yang cukup untuk melakukan penambahbaikan kepada negara sebelum menyerahkan tanggungjawab dan tugas beliau kepada penggantinya. Namun, pada masa yang sama, cadangan ini jika dijalankan perlu mendapat persetujuan dan sokongan daripada parti-parti Pakatan Harapan memandangkan Tun Dr Mahathir telah pun berjanji untuk menyerahkan jawatan tersebut kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas dua tahun.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here