Usul Undi Percaya kini sedang hangat diperdebatkan apabila salah satu parti dalam Muafakat Nasional iaitu PAS ingin mengemukakan usul tersebut di Parlimen. Sebelum ini umum mengetahui tentang Usul Undi Tidak Percaya sahaja tetapi Usul Undi Percaya jarang-jarang berlaku dalam kancah politik negara.

Usul Undi Percaya ini dibawa PAS bagi menyokong kepimpinan Perdana Menteri (PM), Tun Mahathir Mohamad dalam mentadbir negara sehingga habis penggal. Ini bermakna, Ahli Parlimen akan memberi undi di dalam Dewan Parlimen untuk melihat sama ada Tun Mahathir akan mendapat majoriti undi mudah sebanyak 112 bagi terus menjawat jawatan Perdana Menteri itu.

PAS akan mengusulkan Undi Percaya di Parlimen pada Mac ini

Tidak seperti Undi Tidak Percaya, Undi Percaya tidak disebut dalam Perlembagaan Persekutuan tetapi ianya tidak bertentangan dengan Perlembagaan. Usul ini perlu mengikut proses pembentangan usul dan mengikut prosedur yang ditetapkan di dalam Parlimen. Malah,  ianya pernah berlaku di Parlimen pada tahun 1997 terhadap Tun Mahathir ketika menjadi PM ke empat dahulu dan juga tahun 2003 ke atas PM ke lima, Tun Abdullah Badawi.

Jadi, jika hendak dibandingkan di antara kedua-dua usul ini, Usul Undi Percaya boleh memberi impak yang positif berbanding Undi Tidak Percaya. Ini kerana, motif kepada pembawakan Undi Percaya adalah untuk memberi sokongan kepada kepimpinan PM sendiri. Ianya untuk mengelakkan berlaku niat tidak baik ahli-ahli politik untuk memilih pemimpin yang dikehendaki mereka berbanding rakyat.

Di samping itu, pembawakan Usul Undi Tidak Percaya juga haruslah mengikut kepada kepimpinan PM ketika itu sama ada mereka melakukan salah laku kuasa atau tidak. Pada tahun 2015, usul ini pernah dibangkitkan oleh Pembangkang supaya PM ketika itu Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan kerana terlibat dalam kontroversi melibatkan 1MDB.

Usul Undi Tidak Percaya dikhabarkan akan dibuat kepada Tun Mahathir

Selang 5 tahun kemudian, usul ini dikhabarkan akan dibawa supaya Tun Mahathir meletak jawatan bagi memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi PM ke lapan. Ini menunjukkan usul terhadap Tun Mahathir ini sebenarnya mencemar demokrasi negara kerana tidak melibatkan salah laku kuasa sebaliknya untuk kepentingan politik sahaja.

Justeru, Usul Undi Percaya ini sebenarnya wajar dilakukan bagi menjamin kestabilan politik, ekonomi dan sosial negara. Ahli-ahli Parlimen seharusnya mengambil kira soal kepentingan rakyat dalam memilih siapa yang akan memimpin kerajaan dan tidak menunjukkan budaya politik kotor di dalam Dewan Parlimen. Apa yang rakyat inginkan hanya kerajaan yang berupaya mentadbir negara serta rakyat dengan baik dan bukan individu yang hanya pandai bercakap sahaja.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here