Apakah yang dimaksudkan dengan vandalisme? Isu vandalisme sering dikaitkan dengan remaja sebagai pelakunya namun kita tidak boleh menolak bahawa vandalisme ini juga dilakukan oleh individu dari pelbagai peringkat umur. Vandalisme ialah perbuatan membinasakan dan merosakkan harta benda awam ataupun persendirian. Di negara ini, gejala vandalisme dilihat semakin berleluasa serta membimbangkan. Hal ini kerana segelintir daripada masyarakat kita bersikap lepas tangan dan tidak bertanggungjawab terhadap semua kemudahan yang disediakan.

Malaysia mempunyai banyak tempat pelancongan menarik dan bersejarah namun masalah vandalisme telah mencacatkan pemandangan serta memberi tanggapan negatif khususnya kepada pelancong-pelancong di dalam mahu pun luar negara. Kemajuan pembangunan negara tidak ada gunanya jika rakyat tidak mempunyai kesedaran yang tinggi dalam menjaga harta benda.

Terdapat beberapa jenis vandalisme di negara ini iaitu merosakkan harta benda, menconteng, mencuri, mencemar, membakar dan sebagainya. Pada kebiasaanya, kawasan yang menjadi tumpuan vandalisme adalah di tandas awam, kawasan perumahan kos rendah, taman permainan dan lain-lain. Di samping itu, mereka yang melakukan vandalisme ini mempunyai tiga tujuan iaitu untuk mencuri dan mendapat keuntungan daripada sikap buruk seseorang individu dan mengisi masa lapang.

Tandas awam antara tempat yang sering mengalami kerosakan akibat daripada gejala vandalisme

Apa yang lebih mengecewakan adalah mereka yang melakukan vandalisme langsung tidak memikirkan akibatnya terhadap orang lain mahu pun diri sendiri. Sebagai contoh, baru-baru ini terdapat perbuatan vandalisme terhadap peti pembekal elektrik di Pelabuhan Klang sehingga menyebabkan kegelapan di laluan-laluan utama. Perbuatan mereka ini bukan sahaja mengancam nyawa tetapi turut menyusahkan masyarakat setempat.

Vandalisme sering dipandang remeh oleh masyarakat tanpa memikirkan bahawa sekiranya ia tidak dibendung maka tidak mustahil vandalisme ini akan terus menjadi budaya masyarakat kita pada masa hadapan. Lama kelamaan negara kita akan dipandang serong oleh negara-negara asing kerana rakyat Malaysia dilihat tidak prihatin. Selain itu, ia juga akan merugikan negara dari segi kos perbelanjaan iaitu kerajaan terpaksa menampung kos perbelanjaan penyelenggaraan harta awam yang telah dirosakkan.

Mentaliti dan sikap vandalisme masyarakat malaysia menjadi faktor utama gejala ini sukar dibendung

Mentaliti dan sikap tidak bertanggungjawab bukanlah satu-satunya faktor gejala vandalisme ini berlaku. Terdapat beberapa faktor lain yang boleh menyebabkan vandalisme iniĀ  berlaku iaitu masalah emosi dan tekanan yang dihadapi oleh seseorang individu. Mereka memilih melakukan vandalisme sebagai jalan untuk meluahkan perasaan marah, bosan, sedih dan sebagainya. Selain itu, terdapat juga individu yang melakukan vandalisme disebabkan oleh kepentingan diri sendiri seperti memecahkan mesin air atau telefon awam untuk mendapatkan wang.

Sehubungan itu, secara tidak langsung masalah vandalisme ini juga sebenarnya boleh menjurus kepada masalah sosial yang lain seperti ponteng sekolah, ponteng kerja, kemahiran sosial yang lemah, masalah keluarga, masalah dengan pihak berkuasa dan lain-lain. Selain itu, bagi pelaku remaja yang aktif melakukan vandalisme juga mereka akan mudah terlibat dengan jenayah apabila dewasa disebabkan mereka sudah terjebak dengan gejala ini sejak remaja lagi.

Oleh itu, rakyat perlu dididik dengan kesedaran sivik untuk menghargai segala kemudahan yang telah disediakan. Adalah wajar sekiranya kerajaan mempertimbangkan untuk mewujudkan undang-undang khas bagi kesalahan vandalisme supaya masyarakat kita tidak lagi bersikap lepas tangan dan melakukan vandalisme sesuka hati. Pelaksanaan undang-undang yang tegas juga adalah penting supaya masyarakat negara ini sedar bahawa vandalisme juga merupakan kesalahan jenayah.

Oleh yang demikian, pihak berwajib juga boleh mengambil langkah-langkah pengawasan melalui sistem kamera litar tertutup (CCTV) di tempat-tempat yang menjadi tumpuan vandalisme. Gejala vandalisme perlu dilihat dari aspek yang lebih serius supaya ia tidak membawa kecelakaan atau keburukan yang lebih teruk pada masa akan datang.

Justeru itu, masyarakat juga berperanan penting dalam memberi kesedaran kepada mereka yang bersikap sedemikian. Selain daripada usaha kerajaan membendung gejala vandalisme, peranan ibu bapa juga sangat penting dalam mendidik anak-anak supaya lebih bertanggungjawab kepada segala kemudahan awam. Anak muda adalah tonggak negara pada masa hadapan maka adalah penting supaya kita memastikan mereka tidak terlibat dengan masalah sosial yang lebih serius.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here