Memang benar, mana mungkin seteru politik boleh bergandingan bahu dalam menyelesaikan isu Covid-19 ini bersama-sama. Pasti akan ada percanggahan pendapat dan akhirnya kita tidak mendapatkan solusi bagi permasalahan tersebut. Akan tetapi, adakah dengan perbalahan politik dan sikap gila kuasa yang ditunjukkan oleh kesemua pemimpin politik negara tidak kira sama ada Kerajaan mahupun pembangkang akan memberikan solusi yang tepat kepada permasalahan ini?

Rakyat sudah semakin penat, lelah dan menderita! Para fronliner sudah hampir lumpuh kerana kepenatan untuk menangani kes covid yang semakin mengganas seolah-olah tidak nampak tanda-tanda untuk berhenti. Sementara para pemimpin politik sibuk bertelagah, menyalahkan antara satu sama lain dan bukannya menyelesaikan masalah dan sama-sama membantu rakyat yang semakin terhimpit dan tertekan. Pemimpin politik pula seolah-olah buta mata hati dan asyik saling tuduh menuduh mencari siapakah punca dari permasalahan ini hingga menyebabkan rakyat naik rimas! Yang berkuasa, kekal dengan sikap gila kuasanya. Yang berbalah, tidak mempeduli nasib rakyat yang diwakilnya. Benarlah sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW:

“Akan datang tahun-tahun penuh dengan pendustaan yang menimpa manusia, pendusta dipercayai, orang yang jujur didustakan, amanat diberikan kepada pengkhianat, orang yang jujur dikhianati, dan Ruwaibidhah turut bicara. Lalu Baginda ditanya apakah Ruwaibidhah itu? Baginda menjawab: Orang-orang bodoh yang mengurusi urusan perkara umum.” (HR Ibnu Majah: 4026)

Wahai para pemimpin, buka mata dan lihat keadaan sekeliling anda! Sampai bila rakyat harus menanggung derita akibat ketidaksepakatan kalian semua?! Kesusahan, kesengsaraan dan kematian mengejar kami hari demi hari, tetapi kalian masih mahu bertelagah tentang isu kepimpinan dan siapa yang sepatutnya memimpin. Bersepakat dan bersatulah! Kalau negara sekecil Malaysia pun kalian tidak mampu untuk memimpin dengan baik, kepada siapa kami mahu harapkan lagi?

Dari Abu Musa RA, Rasulullah SAW bersabda:

“Seorang Mukmin terhadap mukmin yang lain adalah seperti satu bangunan yang mana bahagian yang satu menguatkan bahagian yang lain.” (HR Bukhari)

Cukuplah berbalah pasal politik, cukuplah menjadi gila kuasa. Fokus pada agenda rakyat. Kami telah menjalankan tanggungjawab kami dengan memilih kalian sebagai wakil suara kami untuk kamu bawa ke peringkat yang lebih tinggi. Tapi kebanyakan kalian ‘menenggelamkan’ suara kami hingga kami terseksa hari demi hari. Sekarang ini Covid-19 pula datang menyerang, kalian semua masih juga tak menunjukkan kredibiliti kamu sebagai pemimpin. Jangan sampai rakyat ambil tindakan sendiri demi untuk kelangsungan hidup mereka dan tidak menghiraukan siapa dan apa status kalian kerana mereka semua sudah jelak dengan lakonan politikus.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here