Rasuah merupakan satu jenayah atau kesalahan undang-undang di mana seseorang mendapat kebebasan kontrak atau keistimewaan dari pihak berkuasa atau sesebuah syarikat selepas memberi wang hadiah. Rasuah juga dikenal pasti sebagai salah satu punca yang boleh menyebabkan pertumbuhan ekonomi sesebuah negara terganggu. Hal ini kerana ia akan memberi kesan kepada kemasukan pelabur asing, kos pentadbiran akan menjadi tinggi serta peluang rakyat untuk mendapatkan peluang pekerjaan atau peluang perniagaan akan terjejas. Gejala rasuah boleh berlaku di sektor swasta atau awam di dalam apa-apa bidang seperti politik, sukan, perniagaan, organisasi kerajaan dan sebagainya.

Sejak kebelakangan ini, terpampang di dada-dada akhbar di mana gejala rasuah dilihat semakin berleluasa sehingga menyebabkan kedudukan Malaysia di dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) merosot. Ia dapat dibuktikan apabila Malaysia berada di tangga ke-61 CPI 2018 dengan ditentukan mengikut persepsi rasuah di dalam sektor awam negara. Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah (SPRM), sebanyak 55.2 peratus tangkapan sejak dari 2013 hingga Mei 2018 melibatkan belia berumur 45 tahun ke bawah.

Melihat kepada gejala rasuah yang semakin meruncing, Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengumumkan bahawa kerajaan akan menubuhkan Mahkamah Khas Rasuah bagi membolehkan kes-kes rasuah dikendalikan dengan lebih cepat tanpa menjejaskan operasi mahkamah biasa. Selain itu, ia juga hanya berfungsi untuk menyelesaikan kes-kes yang melibatkan rasuah.

Gejala rasuah di kalangan masyarakat kita semakin berleluasa

Walau bagaimanapun, pengumuman ini telah mendapat reaksi netizen di media sosial di mana rata-rata komen menyatakan bahawa penubuhan Mahkamah Khas Rasuah ini adalah untuk mempercepatkan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Razak. Namun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui telah pun mengeluarkan kenyataan dan menafikan perkara berkenaan. Penubuhan mahkamah ini juga adalah bertujuan untuk membolehkan hakim memberi tumpuan penuh kepada kes rasuah. Hal ini kerana kebanyakan kes tidak dapat diselesaikan dengan segera berikutan masalah-masalah tertentu.

Oleh itu, adalah wajar sekiranya penubuhan Mahkamah Khas Rasuah ini ditubuhkan bagi membendung gejala rasuah yang semakin menular di kalangan masyarakat kita. Ini juga membuktikan bahawa kerajaan mengambil serius dalam memerangi gejala rasuah di negara kita. Sekiranya fungsi Mahkamah Khas Rasuah memfokuskan kepada kes-kes lama yang tertunggak, adalah tidak mustahil pesalah rasuah akan dihukum secepat mungkin tanpa menunggu sehingga belasan tahun sekaligus ia akan memberi keadilan kepada orang ramai.

Seiring dengan matlamat kerajaan dalam membasmi gejala rasuah, dengan wujudkan Mahkamah Khas Rasuah ini ia sudah pasti akan mengembalikan kepercayaan rakyat kepada kerajaan di mana kerajaan sangat prihatin nasib rakyat yang menjadi mangsa rasuah. Hal ini kerana gejala rasuah yang sering dikaitkan dengan golongan atasan dan VIP di mana kes mereka sering menemui jalan buntu sehingga memberi kesan kepada orang ramai.

Masyarakat perlu sokong usaha kerajaan

Usaha kerajaan dalam memastikan gejala rasuah dapat dibendung melalui keadilan adalah satu inisiatif yang positif namun ia memerlukan sokongan penuh rakyat supaya segala perancangan dan usaha kerajaan berjalan dengan lancar. Malah, cadangan untuk mewujudkan satu mahkamah khas bagi mendengar dan membicarakan kes rasuah yang berlaku di negara ini menunjukkan komitmen tinggi kerajaan membanteras rasuah dan penyelewengan sehingga ke akar umbi.

Pentadbiran telus dan berwibawa amat penting bagi membawa negara ini melepasi halangan dan krisis ekonomi yang tidak nampak penghujungnya. Oleh itu, menerusi penubuhan Mahkamah Khas Rasuah ini, semua pihak perlu melihat ke depan untuk bersama berganding bahu dengan kerajaan dalam mencapai misi nasional negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here