Apa itu ‘Debat Politik’? Mungkin masih ramai yang tidak mengetahuinya. ‘Debat Politik’ secara mudahnya boleh ditafsirkan sebagai satu kaedah rasmi berinteraksi dalam perbincangan di antara dua individu yang terlibat secara langsung dalam gelanggang politik, iaitu pihak kerajaan dan juga pembangkang. Secara dasarnya, perdebatan ini dilakukan bagi memancing para penonton dengan isu-isu semasa yang hangat ditularkan dan secara tidak langsung meraih sokongan daripada rakyat.

Selain itu, debat politik ini juga merupakan gelanggang bagi ahli-ahli politik memberikan penerangan berdasarkan fakta tentang persoalan-persoalan yang sering ditimbulkan bukan sahaja dari kalangan rakyat, malah ahli politik yang lainnya. Kebiasaannya, debat ini dijalankan ketika sesebuah negara sedang mengalami kempen pilihan raya di negara mereka dan pada ketika itu, ahli-ahli politik yang bertanding menggunakan sepenuhnya peluang yang ada untuk meraih sokongan dengan membentangkan segala manifesto yang akan dilakukan demi kesenangan rakyat.

Amerika Syarikat akan mengadakan sesi perdebatan selang empat tahun semasa kempen pilihan raya Presiden bagi negara tersebut

Antara negara-negara yang mengamalkan debat politik di dunia ini adalah Amerika Syarikat (AS) di mana debat ini dijalankan selang empat tahun sekali semasa kempen pilihan raya Presiden bagi negara kuasa besar tersebut. Ia dijalankan di beberapa tempat yang melibatkan calon dari Parti Demokrat dan juga Parti Republik. Manakala di negara Asia Tenggara, Indonesia merupakan salah sebuah negara yang mengamalkan konsep perdebatan ini ketika Pemilihan Umum Presiden Indonesia (Pilpres). Sama seperti AS, ‘Debat Politik’ ini juga diadakan semasa negara republik tersebut menjalankan Pemilihan Umum (Pemilu). Namun, apa yang menjadi persoalannya adalah relevankah ia dilaksanakan di sebuah negara demokrasi seperti Malaysia?

Jika diamati, ‘Debat Politik’ yang dijalankan di Malaysia hanyalah bersifat retorik yang hanya memburukkan lagi keadaan. Ini ditambah lagi dengan “perang siber” di antara kedua-dua penyokong parti kerajaan dan pembangkang. Namun di sudut yang berbeza, debat politik ini dilihat seakan perlu dalam menyampaikan wadah berbentuk fakta kepada rakyat supaya mereka menerima input yang sebenarnya dan bukannya bergantung terhadap fitnah dan auta yang disampaikan melalui media sosial semata-mata.

Ironinya, ‘Debat Politik’ di Malaysia pada hari ini dilihat bukanlah dilakukan demi untuk merencanakan pembangunan negara. Sebaliknya ia sebuah perdebatan untuk membuktikan parti siapa yang lagi hebat dalam mentadbir negara. Semuanya mahu nampak gah di mata rakyat dan menjatuhkan pihak lawan demi kuasa. Satu tinjauan telah dilakukan di setiap platform media sosial mendapati rakyat masih lagi keliru tentang kerelevenan ‘Debat Politik’ di negara ini. Ada juga sebahagian daripada mereka menganggap ianya sekadar “menegakkan benang yang basah” bagi pihak tertentu.

‘DEBAT PTPTN’ merupakan salah satu sesi perdebatan yang mendapat rating tertinggi tontonannya di semua platform media sosial

Sementara itu, segelintir yang lainnya juga berpendapat ‘Debat Politik’ ini bagus diadakan di era Malaysia baru agar mereka tahu dan peka terhadap senario politik di Malaysia yang semakin hari semakin hangat ibarat “pisang goreng panas”. Bagi mereka, ini bertepatan dengan salah satu manifesto kerajaan Pakatan Harapan (PH) semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di mana tiada agenda tersembunyi dalam pentadbiran negara dan semua pihak harus mengambil maklum tentang keadaan negara.

‘Debat Politik’ bukanlah suatu perkara baru di negara ini tetapi ia jarang diamalkan. Tidak salah sekiranya ada di kalangan ahli-ahli politik mengadakan debat seperti ini, lebih-lebih lagi ketika menjelangnya pilihan raya. Namun, debat itu haruslah berfakta dan bukannya sekadar ingin menunjukkan siapa lagi hebat. Seharusnya, perdebatan itu mestilah lebih ke arah pembangunan negara dengan kerjasama di antara dua buah komponen iaitu kerajaan dan pembangkang.

Malaysia hanyalah sebuah negara kecil. Sekiranya dengan perdebatan seperti ‘Debat Politik’ ini boleh membawa kepada kehancuran yang besar, siapa lagi yang mampu mentadbir negara?  Debat haruslah bersesuaian dan selari dengan isu semasa demi untuk kemajuan Malaysia, bukannya untuk menjatuhkan pihak lawan dengan cara ‘tidak bersih’.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here