Setiap nyawa amat berharga namun jika yang bernyawa itu mengancam ketenteraman ianya wajar diberi hukuman! Demi memelihara hidupan liar dan alam sekitar yang kian pupus di tangan-tangan rakus ini wajar sekiranya penceroboh dan ‘perogol’ hutan ini ditembak.

Presiden Perikatan Pencinta Alam (Alam) juga menyokong jika Perhilitan diberi kebenaran untuk menembak penceroboh hutan bagi menunjukkan bahawa kerajaan Malaysia tegas dalam menangani isu pencerobohan hutan ini.

Kerajaan Malaysia perlu melaksanakan hukuman ini kerana yang menjadi perompak, pencuri dan perogol hasil hutan negara ini didalangi oleh warga Vietnam. Sudahlah masuk ke negara ini secara haram malah merompak pula khazanah warisan semulajadi negara yang semakin pupus saban hari.

Perompak-perompak khazanah alam ini pula bukan calang-calang orang kerana mereka cukup ganas, rakus dan berani mati sehingga berani menyerang anggota Perhilitan dengan senjata berbahaya sehingga mengancam nyawa anggota jabatan Perhilitan.

Pencerobohan hutan di Malaysia didalangi oleh warga Vietnam

Seharusnya kita tidak perlu bertolak ansur dengan golongan sebegini kerana mereka adalah golongan yang tidak berperikemanusiaan! Mereka sanggup menceroboh dan merompak hasil hutan negara kita kerana wujud permintaan tinggi di negara mereka. Mereka tanpa segan silu merompak sesuatu yang bukan hak mereka demi kepentingan diri.

Negara kita begitu melindungi alam sekitar dan hidupan liar di bawah undang-undang negara sedangkan perompak-perompak ini pula merompak hasil negara demi mengaut keuntungan dengan menjadikan hidupan-hidupan liar ini sebagai makanan serta menghasilkan produk-produk daripada hidupan liar yang diburu secara haram ini.

Meragut nyawa binatang liar semata ingin mengaut keuntungan

Tindakan yang tegas perlu diberikan kepada mereka sebagai pengajaran agar tidak sesekali memandang rendah terhadap kedaulatan undang-undang negara ini. Kerajaan seharusnya tidak berlembut dengan golongan ini kerana mereka tidak akan berhenti merompak hasil negara kita yang lumayan.

Tindakan membenarkan pihak berkuasa untuk menembak penceroboh merupakan satu tindakan yang wajar memandangkan penceroboh ini boleh bertindak ganas dan pihak berkuasa juga perlu melindungi diri mereka.

Selain daripada tindakan menembak, penceroboh yang ditangkap perlu membayar denda kepada kerajaan dan mengharamkan mereka daripada masuk ke negara ini walaupun dengan alasan apapun. Pihak berkuasa perlu mencari dalang dan tumpaskan dalang-dalang penceroboh ini agar mereka tidak lagi mampu menyelinap masuk ke negara ini.

Justeru, tindakan untuk menembak penceroboh hutan ini memberikan satu signal di mana kerajaan Malaysia amat tegas dalam melindungi dan memelihara khazanah negara. Tindakan ini juga akan menunjukkan bahawa tidak sewenang-wenangnya undang-undang negara ini boleh diperlekehkan.

Hasil hidupan liar dan hutan juga semakin terancam oleh pelbagai faktor maka dalam hal ini kerajaan perlu bersikap tegas dan tidak membiarkan negara terus menjadi mangsa perompak ini. Kita perlu mempertahankan dan memelihara hak negara maka penceroboh yang tidak menghormati undang-undang Malaysia wajar dihukum dengan tegas!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here