Isu permasalahan dalam memohon kewarganegaraan bagi rakyat tempatan dan warga asing di negara ini bukanlah satu isu yang baru. Malah, isu ini telah berlarutan sehingga berpuluh tahun lamanya sehingga menyebabkan sebuah badan NGO, Persatuan Jaringan Pembangunan Manusia Luar Bandar (DHRRA) menggesa kerajaan persekutuan untuk campur tangan agar JPN memendekkan tempoh memproses permohonan kewarganegaraan.

Menurut Presidennya, S. Sarawanan berkata tempoh dua tahun yang diambil oleh JPN bagi memproses permohonan kewarganegaraan ketika ini terlalu panjang. Tambah beliau, perkara itu sememangnya mendatangkan kesukaran kepada si pemohon kerana tidak mengetahui status permohonan mereka. Oleh itu, beliau mencadangkan agar semua tempoh proses permohonan ini dipendekkan kepada setahun atau enam bulan. Beliau juga turut menggesa pejabat JPN di seluruh negara mengeluarkan SOP yang seragam dan mudah difahami serta diikuti semua pegawai-pegawai JPN.

Persatuan Jaringan Pembangunan Manusia Luar Bandar (DHRRA) adalah sebuah badan NGO di bawah pimpinan Presidennya, S. Sarawanan memperjuangkan nasib rakyat tempatan yang tidak mempunyai kad pengenalan diri

Seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 19 (1), mana-mana permohonan daripada warga asing untuk menjadi warganegara mestilah berumur 21 tahun ke atas dan bermastautin di negara ini selama 10 tahun ke atas dari tarikh permohonan. Selain itu, para pemohon mestilah berkelakuan baik dan mempunyai pengetahuan yang memadai dalam Bahasa Melayu.

Sementara bagi permohonan kewarganegaraan di dalam Perkara 15A, pemohon yang berusia 21 tahun ke bawah mestilah sekurang-kurangnya ibu atau bapanya bertaraf warganegara Malaysia. Selain daripada syarat-syarat berkenaan, para pemohon juga perlu melalui proses tapisan keselamatan dari KDN dan setelah itu, pemohon dikehendaki hadir ke Kaunter Bahagian Kewarganegaraan Ibu Pejabat JPN Putrajaya atau Ibu Pejabat JPN negeri atau cawangan dan membawa bersama dokumen-dokumen asal beserta salinan.

Mana-mana pemohon warga asing yang ingin menjadi warganegara Malaysia perlulah mempunyai rekod kelakuan baik dan berpengetahuan asas dalam Bahasa Melayu

Proses permohonan kewarganegaraan ini sememangnya satu isu yang kompleks. Manakan tidak, hal ini melibatkan intergriti penguatkuasaan sesebuah negara. Jika perkara ini dipandang enteng, sudah pasti ia akan menjejaskan keamanan Malaysia serta mengundang pandangan negatif negara luar terhadap soal keselamatan negara ini. Sekiranya kerajaan atau JPN mengurangkan tempoh permohonan kewarganegaraan seperti yang dituntut oleh DHRRA maka ia akan memberikan kesan dan impak yang buruk terhadap negara.

Antara kesan dan impak tersebut adalah akan berlakunya kebanjiran permohonan warga asing tidak terkawal yang akhirnya akan menyebabkan sistem data di JPN tidak dapat membuat tapisan dengan betul. Ini akan mengakibatkan proses ini tergendala dan akhirnya permohonan tersebut ditolak atas faktor dokumen tidak lengkap.

Selain itu, kesan lain yang boleh dilihat adalah berlakunya ketirisan dalam mengendalikan permohonan kewarganegaraan tersebut. Hal ini kerana sudah pasti akan berlakunya prosedur ‘tidak bersih’ di mana urusan tersebut melibatkan penggunaan wang ringgit bagi mempecepatkan proses permohonan kewarganegaraan dan ini sememangnya melibatkan intergriti JPN sebagai sebuah badan berkanun yang mempunyai kuasa untuk menentukan taraf kewarganegaraan bagi pemohon.

Walau bagaimanapun, penambahbaikan servis perlulah dilakukan oleh JPN di dalam isu permohonan kewarganegaraan ini. Sebagai contoh, pihak JPN haruslah bekerjasama dengan pihak KDN dan PDRM dalam mencari mekanisme bagi mencipta satu sistem yang membolehkan pihak JPN mengenalpasti pemohon kewarganegaraan tersebut mempunyai rekod jenayah lampau ataupun tidak menerusi rekod PDRM.

Selain itu, KDN juga haruslah memainkan peranan dalam memperketatkan syarat permohonan kewarganegaraan kepada warga asing dengan menetapkan hanya golongan bekerjaya profesional tetap di negara sahaja yang dibolehkan untuk membuat permohonan. Selain itu, KDN juga harus menetapkan para pemohon supaya menjalani prosedur tapisan tahunan yang dikendalikan oleh PDRM. Ini bagi mengekalkan rekod bersih di kalangan pemohon.

Langkah JPN dalam menetapkan tempoh selama dua tahun untuk memproses permohonan kewarganegaraan sememangnya tindakan yang wajar. Ini bagi membolehkan mereka membuat tapisan dengan lebih teliti tentang latar belakang pemohon. Hal ini kerana ia melibatkan intergriti dan juga keselamatan dalam negara agar sentiasa terjamin dari serangan penjenayah dan juga pengganas luar negara yang cuba menggugat keamanan Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here