Matrikulasi adalah pembelajaran selama setahun atau dua tahun bagi pelajar lepasan SPM sebelum mereka melangkah ke program Ijazah di universiti. Program matrikulasi diwujudkan untuk meningkatkan penyertaan pelajar Bumiputera di universiti awam, yang menjadi keutamaan selepas Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan pada 1970.

Walau bagaimanapun, pada hari ini masih ramai yang keliru tentang perbezaan di antara Matrikulasi, STPM dan juga DIPLOMA. Program Matrikulasi akan mengambil tempoh pembelajaran selama 1 atau 2 tahun dan ia juga dikenali sebagai Program Satu Tahun (2 Semester) dan Program Dua Tahun (4 Semester). STPM pula akan mengambil tempoh selama 2 tahun di sekolah dan DIPLOMA pula akan mengambil masa 2 atau 3 tahun di universiti.

Apakah syarat kelayakan untuk menyertai program matrikulasi ini. Syarat wajib untuk seseorang itu layak ditempatkan ke matrikulasi adalah dengan memastikan keputusan SPM yang diperolehi adalah dengan mendapat sekurang-kurangnya kepujian di dalam subjek tertentu. Subjek yang akan di ambil kira adalah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, dan beberapa subjek teras yang lain.

Namun, sejak akhir-akhir ini kedengaran berita bahawa terdapat usaha dan cadangan untuk menghapuskan program matrikulasi ini. Cadangan ini adalah kerana kerajaan dikritik selepas mereka mendedahkan 90% tempat dalam program matrikulasi adalah untuk Bumiputera manakala selebihnya untuk bukan Bumiputera.

Kemasukan para pelajar bumiputera banyak membantu mereka memperoleh kejayaan di universiti

Perkara ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati oleh kaum bukan bumiputera kerana kuota kemasukan untuk kaum bumiputera terlalu banyak. Tambahan pula menurut  Ahli Akademi Teo Kok Seong, kaum bumiputera kini mempunyai jalan alternatif dan laluan lebih mudah untuk mendaftar kursus Sains di universiti awam berbanding bukan Bumiputera menerusi program matrikulasi pra-universiti.

Selain itu, Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir juga mempunyai pendapat yang sama di mana beliau berpendapat bahawa sistem Matrikulasi memang diwujudkan untuk menjadi “pintu belakang” buat orang Melayu memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Namun katanya, kerajaan juga memberi  peluang kepada bukan Melayu untuk masuk ke matrikulasi dan ini bermakna mereka juga memiliki peluang yang sama.

Namun, rata-rata netizen terutama sekali penuntut matrikulasi turut tidak bersetuju dengan kenyataan Tun Mahathir mereka mengikut jalan belakang serta cadangan untuk menghapuskan matrikulasi. Menurut mereka, untuk mendapat tempat di matrikulasi bukan mudah dan mereka perlu bekerja keras belajar untuk mendapatkan keputusan cemerlang bagi melayakkan diri ke universiti. Malah, ramai juga yang meluahkan rasa sedih kerana kenyataan Tun Mahathir itu seolah-olah merendahkan orang melayu sedangkan mereka juga berusaha untuk melayakkan diri dan memang sepatutnya orang melayu mendapat keistimewaan.

Kolej Matrikulasi tidak boleh dianggap sebagai “pintu belakang” untuk masuk ke universiti kerana setiap kejayaan memerlukan usaha yang gigih

Justeru itu, pihak kerajaan perlu meneliti semula usaha untuk menghapuskan program matrikulasi. Hal ini kerana jika ia dihapuskan sudah pasti perkara ini akan dijadikan satu isu politik oleh pihak pembangkang seterusnya membuatkan rakyat semakin hilang kepercayaan kepada kepimpinan kerajaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here