Pada 22 Julai 2018, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir menyatakan bahawa kerajaan akan memansuhkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012, atau lebih dikenali sebagai SOSMA yang banyak menindas rakyat.

Namun, pemansuhan SOSMA masih lagi di peringkat kajian kerana pemansuhannya akan membawa kesan kepada pihak berkuasa dalam melaksanakan tanggungjawab menangani jenayah dan ancaman keselamatan yang lain.

SOSMA digunakan untuk tujuan menangani keganasan

SOSMA digubal untuk membendung aktiviti seseorang atau kumpulan yang mahu mengguling atau melemahkan negara terutamanya jika dilihat dunia pada hari ini berhadapan dengan pelbagai ancaman yang merentasi sempadan. Sedar atau tidak, isu pembabitan segelintir rakyat dalam kegiatan keganasan merupakan satu realiti yang tidak dapat diselindung lagi.

Walau bagaimanapun, beberapa peruntukan akta ini tidak disenangi dan menjadi kritikan sesetengah pihak kerana beban pembuktiannya longgar berbanding pengendalian kes jenayah-jenayah lain. Ini bermaksud seseorang yang disyaki akan lebih mudah ditangkap, didakwa dan disabitkan bersalah walaupun buktinya lemah.

Apa yang lebih membimbangkan adalah apabila sesetengah pihak menyalahgunakan akta ini bagi tujuan politik. Disebabkan itu, timbul persoalan adakah akta ini zalim dan perlu dimansuhkan?

Akta SOSMA dikatakan menjejaskan hak asasi manusia

Namun, jika dilihat dari sudut positif, undang-undang pencegahan yang tegas perlu sentiasa ada untuk melindungi negara dan rakyat sekaligus menyekat pergerakan kumpulan ekstremis, kumpulan militan dan kumpulan jenayah terancang dewasa ini.

Oleh itu, akta ini tidak perlu dimansuhkan namun perlu dipinda dan dibuat penambahbaikan agar akta ini tidak digunakan untuk tujuan politik atau apa-apa tujuan yang tidak berkaitan dengan isu keselamatan serta keganasan.

Tidak seharusnya akta SOSMA ini dianggap zalim atau ‘keras’ oleh sesetengah pihak kerana SOSMA adalah berbeza dengan undang-undang biasa kerana ia melibatkan kesalahan berkaitan ancaman kepada keselamatan awam seperti isu pencerobohan kumpulan pengganas.

Dari aspek tertentu, kerajaan dan pihak berkuasa perlu diberikan kuasa yang lebih untuk mengekang keganasan namun kuasa itu perlu diseimbangkan agar tidak berlaku kezaliman dan ketidakadilan. Maka, seharusnya kerajaan perlu meminda akta SOSMA dan menambahbaik pelaksanaanya tanpa perlu memansuhkannya demi kedaulatan negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here