Kampung Baru merupakan kawasan yang diibaratkan sebagai lubuk emas di Kuala Lumpur kerana lokasinya yang strategik di tengah pusat bandar tersebut. Nilai tanah di kawasan rizab Melayu tersebut sangat berharga tetapi dipenuhi dengan perumahan setinggan dan sering diintai pemaju luar. Perkara tersebut telah mendapat perhatian kerajaan yang mahu membangunkan tanah Kampung Baru yang mempunyai keluasan 250 ekar ini.

Oleh kerana itu, Kementerian Wilayah Persekutuan sedia berbincang dengan seluruh pemilik tanah di Kampung Baru mengenai penjualan tanah kepada kerajaan untuk pembangunan semula kawasan tersebut. Menurut Menterinya, YB Khalid Abdul Samad, dana sebanyak RM10 bilion diperlukan untuk membeli tanah Kampung Baru bagi membangunkan Kampung Baru secara menyeluruh dan bukan secara berkelompok atau ‘runcit’ oleh pemilik tanah bersama pemaju.

Dana RM10 bilion diperlukan untuk mengambil alih tanah di Kampung Baru – YB Khalid Samad

Di samping itu,  menurut Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB) yang menjadi perantara antara kerajaan dan pemilik tanah menyatakan hampir 88 peratus daripada 2,388 pemilik tanah Kampung Baru dikatakan sudah bersetuju dengan inisiatif kerajaan untuk memajukan tanah Kampung Baru. Penduduk Kampung Baru juga lebih gemar tanah dibeli dari pihak kerajaan berbanding pemaju swasta serta tidak melalui sebarang orang tengah dalam rundingan ini.

Jika pemilik tanah Kampung Baru bersetuju dengan pampasan yang diberikan, kerajaan akan memastikan kawasan tersebut dibangunkan pemaju yang akan dilantik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Sebelum ini antara pemaju yang mendapatkan hak pembangunan projek di Kampung Baru ialah M101 Holding Sdn Bhd bagi membina M101 Skywheel setinggi 220 meter yang bernilai RM2.2 bilion apabila siap menjelang tahun 2022. Ia menjadi projek Transit Oriented Development (TOD) di bawah kerajaan terdahulu dengan roda feris berada di puncak bangunan pelbagai fasiliti tersebut.

Pembangunan di Kampung Baru sememangnya wajar dilakukan kerana kawasan tersebut tidak membangun berbanding kawasan terdekat lain dek kerana kawasan perumahan setinggan yang rapat hingga tiada ruang sesuai untuk pembangunan. Malah, wang pampasan tersebut dapat memberi manfaat kepada pemilik tanah Kampung Baru kerana purata pampasan setiap pemilik tanah mencecah jutaan ringgit.

88% dari 2,388 pemilik tanah sudah bersetuju untuk kerajaan memajukan tanah Kampung Baru

Tetapi, jika kerajaan sudah menyelesaikan segala perjanjian bersama pemilik tanah Kampung Baru, kerajaan juga perlu memastikan status tanah rizab Melayu kekal di situ. Sebelum ini juga kerajaan berhasrat untuk memberi pajakan panjang yang bermakna pemaju akan mendapatkan pajakan 60 tahun atau 99 tahun. Akhirnya tanah itu akan kembali kepada pemilik sama dan status hak milik tidak terjejas tetapi masalah yang akan dihadapi adalah pemilikan tanah sebagai contoh satu geran mempunyai 12 nama.

Selain itu, penjualan tanah ini boleh memberi kesan kepada peniaga yang menyewa di atas tanah di Kampung Baru itu. Mereka terpaksa mencari tapak baru untuk berniaga dan boleh memberi kesan kepada perniagaan mereka kerana kos sewa tapak di Kuala Lumpur sangat tinggi. Pihak PKB juga mengemukakan cadangan supaya kerajaan menyediakan rumah transit sementara kepada pemilik tanah Kampung Baru. Jadi kos kerajaan akan bertambah untuk mengambil alih Kampung Baru ini.

Justeru, Kerajaan perlu memastikan jalan penyelesaian kepada kedua-dua belah pihak terjaga kerana pengambilalihan tanah di Kampung Baru ini memberi kesan kepada ramai pihak dan memakan kos sangat tinggi. Akan tetapi pembangunan di Kampung Baru berupaya untuk merancakkan ekonomi negara setelah tidak membangun sekian lama. Walau bagaimanapun, apa yang kerajaan perlu lakukan adalah kekalkan status pemilikan tanah Kampung Baru sebagai rizab Melayu supaya ianya terjaga pada masa akan datang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here