Baru-baru ini Kementerian Kesihatan bercadang untuk membawa kertas cadangan untuk mewajibkan bayi dan kanak-kanak mendapat suntikan vaksin untuk dibentangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Mei nanti. Isu ini sering diperjuangkan pihak kementerian untuk menerangkan tentang kepentingan suntikan vaksin bagi mengelak golongan anti-vaksin meracuni minda ibu bapa.

Menurut menterinya, YB Datuk Seri Dzulkefly Ahmad, pihak kementerian sedang meneliti kebolehlaksanaan tindakan untuk mewajibkan imunisasi terhadap bayi dan kanak-kanak di negara ini dengan mengambil kira sasaran umur yang sesuai serta jenis vaksin. Kementerian Kesihatan juga mencadangkan untuk tidak membenarkan anak-anak tidak divaksin ke sekolah kerana berlaku kes kematian dan boleh menjadi epidemik jika tidak ditangani dengan baik.

Pengambilan vaksin sangat penting kepada anak-anak kerana ia boleh mengelakkan mereka menjadi ejen penyebar penyakit yang boleh dicegah. Ianya juga dapat melindungi mereka daripada jangkitan 12 penyakit yang boleh membawa maut dan langkah itu dapat memastikan sekurang-kurangnya antara 90 hingga 95 peratus bayi dan kanak-kanak di Malaysia selamat dari dijangkiti. Malah, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyifatkan keraguan terhadap suntikan vaksin menjadi satu ancaman terbesar kepada kesihatan global.

Vaksin boleh melindungi kanak-kanak dari 12 penyakit yang membawa maut

Di samping itu, seorang doktor perubatan, Dr Amirul Azmeer Asmadi ada menerangkan tentang kepentingan suntikan vaksin kerana boleh mengelakkan kanak-kanak dijangkiti penyakit. Antaranya adalah difteria, demam campak, beguk dan rubella. Sejarah penggunaan vaksin juga digunakan untuk mengelakkan penyakit poliomyelitis, pertuassis, kanser pangkal rahim dan juga kanser hati yang telah membunuh jutaan nyawa.

Walau bagaimanapun, masih wujud sesetengah pihak yang digelar gerakan antivaksin cuba untuk menggerakkan usaha supaya ibu bapa tidak membenarkan anak-anak mereka disuntik dengan vaksin ini. Gerakan ini menyatakan bahawa vaksin yang digunakan tidak selamat dan boleh memberi kesan sampingan kepada kanak-kanak. Perkara tersebut telah menjadi kebimbangan kepada ibu bapa sedangkan mereka tidak faham bahawa sebenarnya vaksin yang digunakan di Malaysia adalah selamat dan vaksin-vaksin tersebut juga terbukti keberkesanan melalui ujian serta kajian saintifik menyeluruh.

Maka, kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan perlu melakukan jelajah ke seluruh Malaysia untuk memberi penerangan tentang kepentingan suntikan vaksin kepada kanak-kanak. Ini kerana, ada sesetengah ibu bapa tidak faham tentang vaksin ini dan ada di antara mereka sudah pun terpengaruh dengan gerakan anti-vaksin ini. Jika tidak, selepas ini kes-kes jangkitan seperti difteria, demam campak dan rubella akan terus menular kepada kanak-kanak lain.

Ibu bapa perlu diberi penerangan tentang suntikan vaksin untuk kesihatan anak mereka

Justeru, tidak boleh dinafikan langkah kerajaan untuk mewajibkan bayi dan kanak-kanak mendapat suntikan vaksin adalah usaha yang patut dipuji. Suntikan vaksin ini sangat dipersetujui oleh pakar perubatan dan vaksin yang digunakan di Malaysia juga selamat untuk kanak-kanak. Dalam negara ini sahaja sudah berlaku beberapa kes kanak-kanak mengalami jangkitan berbahaya dan masih ada ibu bapa berdegil untuk tidak membenarkan anak-anak mereka disuntik.

Jadi, tidak perlulah untuk ibu bapa terpengaruh dengan gerakan anti-vaksin kerana jika masyarakat membenarkan terlalu ramai individu yang tidak mengambil vaksin, itu bermakna rakyat Malaysia membenarkan penyakit untuk terus berjangkit. Apabila kumpulan antivaksin ini menjadi besar, mereka akan mempengaruhi individu lain sedangkan mereka tiada kredibiliti untuk memberi penerangan mengenai perkara itu. Kerana itulah kerajaan akan memastikan kesihatan kanak-kanak Malaysia terjaga dan langkah kerajaan adalah tepat pada waktunya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here