Sudah! Cukuplah wahai para pemimpin, tidak kiralah di parti Kerajaan mahupun pembangkang, cukup-cukuplah fikirkan tentang karier politik anda berbanding dengan nasib rakyat. Lihat, buka mata luas-luas apa yang sedang terjadi, perpaduan semakin hari semakin runtuh! Pemimpin-pemimpin politik hanya mahu selamatkan karier politik berbanding kehidupan rakyat. Ini ke yang kami dapat selepas menjalankan tanggungjawab kami semasa PRU14 tempoh hari?!

Rata-rata pemimpin negara ini mengaku Islam, mengaku beriman kepada Allah SWT dan RasulNya dan mengikut cara kepimpinan Islam. Adakah ini benar? Mana amanah yang kami berikan kepada kamu wahai para pemimpin?! Sabda Rasulullah SAW:

“Setiap orang daripada kalangan kalian adalah penjaga yang amanah dan setiap kalian juga akan bertanggungjawab ke atas orang bawahannya. Seorang pemimpin adalah penjaga yang amanah dan bertanggungjawab ke atas rakyatnya..” (HR Bukhari dan Muslim).

Lihat hadis di atas, apa yang Rasulullah SAW pesan, setiap daripada kita ini adalah penjaga yang amanah. Kami dah tunaikan amanah kami kepada negara dengan memilih kamu semua sebagai wakil, AP dan ADUN bagi tempat kami, tapi adakah kamu semua menjalankan amanah kamu? Rasanya 80% tidak kerana masing-masing sibuk nak selamatkan ‘hayat’ politik sendiri sampaikan terlupa kami yang dibawah ini hampir ‘nyawa-nyawa ikan’ melawan sakit dan sedih.

Wahai semua pemimpin yang diberi amanah kepimpinan, tidak takutkah kalian dengan ancaman Allah SWT bagi pemimpin yang tidak amanah seperti yang disabdakan oleh Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Tidaklah seseorang diamanahi memimpin suatu kaum kemudian ia meninggal dalam keadaan curang terhadap rakyatnya, maka diharamkan baginya surga” (HR Bukhari dan Muslim).

Tolonglah wahai para pemimpin, ini ‘wake up call’ bagi anda semua daripada kami rakyat Malaysia. Fikirkan jalan penyelesaian, ‘be progressive’ dan bermusyawarahlah kamu semua baik dari Kerajaan dan pembangkang untuk mencari solusi yang menghimpit hidup rakyat saban hari, apatah lagi dengan serangan pandemik Covid-19 yang semakin mengganas! Sudah-sudahlah mencari salah dan saling menuding jari antara satu sama lain, ianya tidak menyelesaikan apa-apa konflik pun.

Tolong buka sedikit ruang dalam hati tu untuk empati kepada rakyat Malaysia. Jangan sampai kami buat undang-undang dengan cara kami sendiri kerana dah terlalu letih dengan drama politik anda semua. Sementara masih ada rasa hormat dari kami, fikirkan solusi yang tepat untuk kami meneruskan hidup. Kami sayang para pemimpin yang bersama-sama susah senang dengan kami. Bukan pemimpin yang hanya tahu tabur duit empat tahun sekali untuk pancing undi atau mahu menebus kesilapan akibat kegagalan mereka yang lalu.

Dari ‘Auf Ibn Malik, berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

“Sebaik-baiknya pemimpin kalian ialah orang-orang yang kalian mencintai mereka dan mereka pun mencintai kalian, juga yang kalian mendoakan kebaikan untuk mereka dan mereka pun mendoakan kebaikan untuk kalian.” (HR Muslim)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here