Penglibatan golongan wanita sebagai penyerang di dalam kumpulan militan Daesh menjadi trend terbaharu di rantau Asia Tenggara. Baru-baru ini, kumpulan militan Daesh didapati menyasarkan golongan wanita untuk menjadi penyerang bunuh diri dalam kegiatan mereka di rantau Asia Tenggara. Menurut Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8), Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, penglibatan wanita sebagai penyerang bunuh diri kian meningkat. Beliau menjelaskan lagi, jika dilihat ancaman Daesh ini mungkin berkurangan tetapi dari segi impak masih lagi besar kerana mereka mempunyai kepakaran untuk menghasilkan bahan letupan. Lebih membimbangkan golongan ini mempunyai satu semangat baharu untuk melancarkan serangan.

Ramai wanita sertai Daesh

Terbaru, terdapat satu kes di mana seorang anggota IS Indonesia di Surabaya membawa sebilah pisau masuk ke balai polis kononnya mahu membuat laporan. Namun, individu berkenaan bertindak mencederakan pihak polis dan ini membuktikan keberanian mereka melakukan serangan sebegitu.

Sehubungan dengan itu, perkara yang merisaukan adalah kemampuan Daesh merekrut ahli menyertai mereka melalui Facebook dan sebagainya. Mereka begitu licik menggunakan media sosial merekrut bukan sahaja lelaki dewasa bahkan gadis remaja dan kanak-kanak. Daesh menganggap bahawa kumpulan mereka sebagai ‘’parti Allah’dan pihak yang menentang mereka, termasuk musuh-musuh Islam serta umat Islam yang dianggap murtad kerana tunduk dianggap sebagai ‘parti syaitan’. Bagi mereka jihad peperangan adalah satu-satunya jalan untuk menegakkan sebuah khilafah Islamiah. Jihad ini wajib memerangi dan membunuh kafir harbi serta umat Islam yang telah murtad iaitu mereka yang tidak menyertai gerakan mereka.

Daesh guna media sosial sebar propaganda

Teologi pembebasan melalui jihad ini didakwa bagi membebaskan negara Islam daripada pemimpin yang zalim. Tindakan mengeluarkan umat Islam ini daripada sistem demokrasi kepada sistem khilafah kononnya dianggap suci dan mulia.

Realitinya, tindakan warganegara Malaysia yang telah atau ingin berjuang atas nama jihad ini adalah sia-sia kerana perjuangan mereka tidak tergolong sebagai jihad dan kematian mereka tidak dikategorikan sebagai syahid menurut hukum syarak. Apa yang dilakukan militan Daesh adalah fitnah dan menyeleweng daripada syariat Islam serta memberi gambaran salah tentang erti sebenar jihad. Seruan jihad dan mati syahid mereka bercanggah kerana menghalalkan darah sesama Islam.

Namun begitu, kita dapat melihat kebanyakan wanita terjebak dalam kumpulan Daesh ini memandangkan jerat yang digunakan Daesh bagi mempengaruhi wanita menerusi ‘Jihad al-Nikah’ atau bahasa mudah ‘jihad seks’ sebagai menebus segala dosa silam. Setelah bergelumang hidup dengan dosa besar dan zina, siapa yang tidak mahu ditawarkan keampunan malah dijanjikan masa depan cerah di dunia serta akhirat. Malah mereka juga dijanjikan untuk dijadikan sebagai isteri pejuang dan memperoleh kehidupan lebih baik selain diberikan elaun sara hidup serta bahagian dalam harta rampasan perang.

Oleh itu, semua pihak sewajarnya berwaspada agar tidak terpengaruh dengan fitnah dan salah faham jihad tafsiran sendiri sehingga terjebak dengan ideologi ekstrem ini. Hakikatnya ideologi Daesh ini bukannya daripada ajaran Islam sebenar bahkan Daesh adalah antagonis kepada Islam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here