Perayaan Aidilfitri bakal menjelma lagi seminggu. Suasana bazar Ramadhan yang menjual juadah berbuka puasa dan persiapan Hari Raya semakin sibuk. Namun perasankah kita, kebanyakan tapak-tapak perniagaan ini, terutamanya di sekitar Kuala Lumpur seperti Jalan Tunku Abdul Rahman (Jalan TAR), Jalan Masjid India dan sekitarnya dimonopoli oleh warga asing.

Persoalannya bagaimanakah golongan ini memperolehi lesen tapak perniagaan. Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad sendiri menyatakan bahawa pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak pernah mengeluarkan lesen perniagaan kepada warga asing.

Kebanyakan tapak perniagaan yang dimonopoli oleh warga asing bermula daripada sikap rakyat tempatan yang mahu keuntungan mudah dengan menyewakan lesen atau tapak perniagaan mereka kepada imigran ini.

Malaysia jadi ‘lubuk emas’ kepada warga asing

Isu ini bukan sahaja tertumpu semasa musim perayaan di tapak-tapak bazar, bahkan ianya juga menjadi konflik di kalangan peniaga-peniaga di pasar borong. Semua orang mahukan keuntungan, namun mereka perlu tahu sikap menyewakan lesen dan tapak perniagaan kepada warga asing boleh ‘membunuh’ rantaian sosio-ekonomi peniaga tempatan.

Tidak mustahil, tauke warga asing tersebut akan menjadi ‘bos besar’ yang mampu menjadi penentu kepada naik turun harga barangan terutamanya keperluan asas kerana mereka sudah mula menguasai pasaran tersebut.

Pasti ada dalang di sebalik sindiket menyewakan tapak perniagaan kepada warga asing ini. Pada Ogos 2018, Skuad Khas Harian Metro mendedahkan seorang lelaki bergelar Datuk didakwa memiliki 10 lot kedai di Jalan Siang yang disewakan kepada warga Bangladesh untuk menjalankan pelbagai perniagaan termasuk farmasi dan klinik ubat haram, dari negara Bangladesh.

Tapak perniagaan terus dimonopoli oleh warga asing

Lesen perniagaan yang tidak sah itu diletakkan atas nama Datuk berkenaan bagi membuktikan mereka hanya pekerja, bukan pemilik kedai. Kes ini hampir sama seperti yang berlaku di Kampung Paya Jaras. Namun ia bukannya didalangi oleh individu yang bergelar Datuk, tetapi daripada penduduk tempatan di sekitar kampung itu yang menjual tanah dan tapak mereka kepada warga asing.

Kini perniagaan runcit Kampung Paya Jaras dimonopoli oleh warga asing. Apa yang tidak adil, mereka mampu bersenang lenang dengan memilik kedai tanpa perlu membayar sebarang sewa, berbanding penduduk tempatan.

Kerajaan telah melakukan pelbagai inisiatif seperti menggempur warga asing yang berniaga dan menarik balik lesen perniagaan peniaga tempatan. Namun jika ‘keuntungan mudah’ itu masih menjadi agenda utama peniaga tempatan, maka jangan ditanya bagaimana sosio-ekonomi Malaysia mahu seimbang.

Maka, kerajaan perlu menjentikkan kesedaran di kalangan peniaga tempatan. Bukan keuntungan mudah yang menjadi perkara utama, tetapi pertumbuhan sosio-ekonomi yang seimbang untuk jangka masa panjang perlu menjadi agenda. Adakah kita mahu rakyat Bangladesh, Myanmar, Kemboja, Rohingya menjadi tauke kedai dan rakyat Malaysia sendiri menjadi pekerja?

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here