Trend kemasukan warga asing terus meningkat dari tahun ke tahun dan dianggarkan sebanyak 6.7 juta pekerja asing berada di negara ini serta daripada jumlah tersebut, hanya 2.1 juta pekerja asing mempunyai permit. Terkini data telah menunjukkan bahawa kemasukan rakyat China dan India adalah yang tertinggi berbanding dengan rakyat dari negara lain.

Kemasukan warga asing yang terlampau ramai ke negara kita sudah pasti akan mencetuskan rasa bimbang di kalangan rakyat Malaysia oleh kerana mereka sering berasa tidak selamat apabila dikelilingi oleh warga asing khususnya di Kuala Lumpur. Sebelum ini juga kita sering mendengar berita berlakunya kes-kes jenayah yang melibatkan warga asing, oleh kerana itu tidak hairanlah mengapa rakyat Malaysia begitu fobia dengan keadaan ini.

Kita juga bakal berisiko dengan pelbagai penyakit sekiranya tidak mengawal kemasukan warga asing ke dalam negara.

Antara punca utama lambakan warga asing adalah peluang pekerjaan yang lebih baik berbanding di negara asal mereka. Selain itu, faktor yang menggalakkan kedatangan pekerja asing ialah permintaan yang tinggi terhadap pekerja asing oleh majikan tempatan. Hal ini kerana upah menggaji pekerja asing adalah jauh lebih rendah daripada pekerja tempatan. Selain itu, kestabilan politik di Malaysia juga merupakan antara faktor kemasukan pekerja asing. Hal ini dapat dilihat melalui semangat perpaduan yang diamalkan oleh masyarakat yang berbilang kaum di Malaysia.

Dalam hal ini juga, segelintir pihak mula mempersoalkan tentang keputusan kerajaan yang memberikan pengecualian visa selama setahun bagi pelancong dari India dan China. Hal ini kerana dikhuatiri wujud kelemahan yang serius dalam pelaksanaan Sistem Maklumat Pendaftaran Pelancong Elektronik (eNTRI) dan juga MyIMMs ketika pemprosesan di pintu masuk pelancong. Perkara ini juga akan menyebabkan lebih ramai warga asing cuba untuk mengambil kesempatan di atas kelemahan sistem tersebut.

Lambakan warga asing akan menyebabkan orang ramai berasa tidak selamat

Sebagai langkah untuk mengawal kemasukan lebih ramai warga asing ke dalam negara kita, visa percuma yang diberikan kepada warga China dan India itu perlu dihadkan dan diberi kuota kebenaran untuk masuk ke Malaysia. Kita berharap agar pihak yang bertanggungjawab dalam menangani masalah ini perlu bersikap lebih peka dan sentiasa melakukan pemantauan yang sepatutnya supaya satu jalan penyelesaian yang baik mampu dicapai.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here