Jika kita ke luar negara dan melakukan sebarang kesalahan undang-undang, sudah pasti kecut perut dibuatnya. Namun, sebaliknya berlaku apabila warga asing yang keluar masuk ke Malaysia mengambil sikap tidak endah walaupun telah melakukan kesalahan. Situasi ini dapat dikaitkan dengan saman dan waran tangkap warga asing tertunggak yang direkodkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sepanjang 2014 hingga 2018, Singapura menjadi negara paling tinggi tidak menyelesaikan saman di negara ini dengan kutipan sebanyak 136,601 saman tertunggak. Selain itu, warga Brunei dan Thailand juga antara yang mempunyai rekod saman tertunggak dengan catatan 40,101 dan 24,651.

Jumlah saman tertunggak warga asing yang mencecah jutaan ringgit telah menunjukkan bahawa sistem saman kita khususnya untuk warga asing adalah longgar. Oleh itu, mereka mengambil ringan dan tidak takut untuk terus keluar masuk secara bebas kerana tiada sebarang tindakan dikenakan walaupun mereka mempunyai saman.

Selain itu, tiada pemeriksaan khusus kepada rekod saman juga menjadi faktor mereka lebih mudah bergerak bebas ketika memasuki negara ini. Kita perlu akui dan sedar bahawa situasi warg asing liat membayar saman adalah disebabkan kelemahan sistem kita sendiri. Maka, kini adalah masa yang tepat untuk memperbaiki segala kelemahan tersebut bagi menangani permasalahan ini.

Saman tertunggak warga asing mencecah jutaan ringgit

Oleh itu, kerajaan khususnya pihak PDRM dan Imigresen seharusnya bersedia dengan perancangan yang lebih proaktif dalam menyelesaikan isu ini. Warga asing yang mempunyai saman perlu melangsaikan saman terlebih dahulu sebelum dibenarkan pulang ke negara masing-masing. Untuk itu, pihak PDRM dan Imigresen perlu menjalinkan kerjasama supaya ianya dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Walau bagaimanapun, bagi saman tertunggak sedia ada, kerajaan boleh menyenarai hitam individu terbabit daripada masuk ke Malaysia. Sementara itu, pihak berkuasa tempatan juga boleh melakukan Ops Saman Tertunggak Warga Asing bagi menjejak mereka bagi melangsaikan saman tertunggak. Hukuman setimpal perlu dilaksanakan supaya mereka tidak mengambil ringan terhadap undang-undang Malaysia.

Malaysia seharusnya melaksanakan undang-undang ini secara tegas sejak dahulu lagi dan tidak mengambil mudah perkara ini. Hal ini kerana jumlah saman warga asing sudah pasti bukan dalam jumlah yang sedikit. Saman mereka juga merupakan salah satu sumber pendapatan negara.

Warganegara atau warga asing wajib langsaikan saman

Oleh itu, langkah penekanan terhadap aspek undang-undang adalah penting untuk semua warga asing yang masuk ke Malaysia. Status mereka sebagai warga asing atau pelancong tidak memberikan mereka keistimewaan untuk melanggar mana-mana undang-undang Malaysia. Justeru itu, pihak kerajaan khususnya pihak berkuasa perlu lebih tegas dalam melaksanakan undang-undang yang telah ditetapkan dan memastikan pelaksanaan tersebut tidak ada sebarang kompromi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here