Pengguna internet diingatkan supaya tidak terpedaya apabila dijanjikan kiriman hadiah, terutamanya daripada kenalan tidak dikenali bagi mengelak daripada menjadi mangsa kegiatan penipuan ‘parcel scam’. Sindiket penipuan ini akan menjadikan mangsa yang dikenali melalui laman sosial sama ada Facebook, Friendster, Twitter dan lain-lain sebagai sasaran utama.

Setelah mengenal pasti sasaran mangsa, mereka kemudian menjanjikan akan mengirim beberapa bungkusan hadiah berupa barang kemas, jam tangan, komputer riba dan wang pound atau USD, kononnya sebagai tanda persahabatan. Beberapa hari kemudian, mangsa akan dihubungi kononnya oleh pegawai dari Kastam Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atau syarikat penghantaran kurier menyatakan barang yang dihantar telah sampai tetapi ditahan kerana tidak membayar cukai. Mereka turut menggunakan alasan bungkusan ditahan kerana tidak membayar insurans atau wang pound yang dikirimkan itu telah melebihi had yang dibenarkan. Jadi mangsa perlu membuat sejumlah pembayaran yang dimaklumkan bagi pelepasan bungkusan tersebut.

Sindiket penipuan ‘Parcel Scam’ akan menjadikan mangsa yang dikenali melalui laman sosial seperti Facebook. Friendster, Twitter dan lain-lain sebagai sasaran utama

Pembayaran perlu dibuat menerusi nombor akaun yang diberikan oleh suspek. Mangsa hanya menyedari telah tertipu setelah semakan dibuat daripada pihak berkenaan mendapati barangan dimaksudkan tidak pernah wujud. Bukan sahaja tertipu, malah mangsa turut menanggung kerugian apabila membuat pembayaran seperti yang diminta suspek.

Penipuan ini banyak melibatkan kerugian wang yang amat besar. Ini kerana mangsa terpaksa membelanjakan wang sekurang-kurangnya RM5,000 untuk setiap pembayaran yang dilakukan. Mangsa akan mula menyedari mereka telah ditipu setelah banyak wang yang telah dikeluarkan dan barangan itu pula tidak ada.

Selain itu, jenayah ‘parcel scam’ ini juga memberi kesan kepada keselamatan negara sekiranya berlaku kebocoran maklumat ke luar negara.  Ini akan menyebabkan pergolakan politik negara yang menyebabkan sistem pemerintahan negara terganggu. Dari segi ekonomi pula, kerajaan terpaksa mengeluarkan kos yang besar untuk disalurkan kepada bahagian pertahanan negara demi menjamin keselamatan dan keamanan negara dan membanteras jenayah ini.

Oleh itu, PDRM perlu mempergiatkan usaha kesedaran kepada masyarakat dalam membendung kes penipuan sindiket. Mereka perlu merancang mempergiatkan program kesedaran masyarakat dengan fokus utama untuk menyampaikan maklumat berkenaan modus operandi, bahaya serta langkah pencegahan kes penipuan sindiket kepada masyarakat.

Pihak berkuasa perlu mengenakan tindakan tegas dan hukuman ke atas penjenayah sindiket ‘Parcel Scam’

Selain itu, agensi-agensi kerajaan seperti PDRM, MCMC perlu meneruskan mekanisme sedia ada seperti kempen, pameran dan sebagainya. Pihak PDRM perlu membangunkan laman web yang bakal diakses melalui capaian pada laman web  PDRM sedia ada (www.rmp.gov.my) di mana pengisiannya akan tertumpu kepada maklumat berkenaan kes penipuan sindiket. Dari masa ke semasa laporan penipuan sindiket ini perlu dihebahkan agar rakyat terus disalurkan dengan maklumat terkini mengenai jenayah ini.

Selain itu, penyebaran informasi kesedaran jenayah sindiket melalui aplikasi WhatsApp juga perlu dirancang bagi memastikan maklumat yang dikehendaki benar-benar sampai kepada kumpulan sasar. Dari aspek penyampaian perkhidmatan pihak JSJK perlu mempertingkatkan kualiti siasatan melalui perkhidmatan yang lebih cekap, pantas dan telus. Penstrukturan semula jawatan pegawai penyiasat di daerah tertentu perlu dilakukan bagi menyesuaikannya dengan perubahan kadar jenayah penipuan sindiket yang mempunyai kadar kes penipuan yang tertinggi.

Di samping itu, satu platform rujukan  dan aplikasi perlu diwujudkan oleh kerajaan bagi memberi panduan dan informasi kepada rakyat tentang jenayah penipuan ini misalnya mewujudkan laman web khas bagi mengenai senarai sindiket penipuan yang telah dilaporkan di negara di mana pengguna mendapat panduan dan rujukan berhubung dengan isu ini.

Pada masa yang sama,  masyarakat seharusnya lebih berhati-hati dan bertindak dengan bijak agar tidak terperangkap dan menjadi mangsa penipuan sindiket ‘parcel scam’. Pengguna perlu bijak, berani dan tegas untuk menolak mana-mana individu yang membuat panggilan untuk mendapatkan maklumat peribadi kata laluan ataupun meminta untuk memindahkan wang ke akaun ketiga yang tidak dikenali. Jika terdapat sebarang keraguan terhadap laporan yang dibuat, pengguna perlulah mengambil inisiatif untuk membuat laporan polis ataupun menyemak kesahihan laporan ataupun menyemak kesahihan laporan dengan merujuk kepada pihak yang boleh dipercayai.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here