Sifat wanita yang mudah percaya dan bersimpati manakala sifat lelaki yang mudah tergoda menyebabkan golongan ini mudah diperdaya akhirnya menjadi mangsa ‘love scam’.

Love scam adalah satu penipuan di mana penjenayah akan ‘mengayat’ menggunakan kata-kata manis dan janji palsu untuk memperdaya mangsa terutamanya golongan wanita.

Menggunakan platform media sosial seperti Facebook, Twitter mahupun Instagram, penjenayah akan mencari mangsa dan menggunakan kata-kata manis juga panggilan manja bagi menawan hati mangsa.

Golongan wanita yang lemah dan kesunyian selalunya menjadi sasaran utama sindiket love scam ini. Pada tahun 2018 sindiket love scam mencatatkan sebanyak 1,301 kes dengan kerugian berjumlah RM83.6 juta.

jangan mudah terpedaya dengan helah penjenayah

Betapa mudahnya mangsa-mangsa yang dicap ‘wanita kesepian’ ini diperdaya dengan janji-janji manis yang palsu oleh lelaki warga asing. Mangsa yang diperdaya pula bukan golongan yang biasa-biasa kerana mangsa yang terlibat berlatar belakang dari golongan professional dan juga ahli perniagaan.

Ternyata ijazah dan diploma hanya mengajar akademik dan tak mampu mengajar bagaimana mengharungi cabaran kehidupan apatah lagi mengajar ilmu untuk mengelak ditipu.

Walaupun sudah terlalu banyak berita mengenai sindiket love scam ini didedahkan di media cetak mahupun media sosial namun masih ada lagi sesetengah golongan wanita yang ditipu. Hal ini menimbulkan tanda tanya, adakah mangsa ini terlalu sibuk untuk membaca, tidak ambil endah atau terasing dari dunia luar?

Wanita kesunyian selalu menjadi mangsa love scam

Namun tidak mustahil untuk sesiapa sahaja terjebak dengan love scam ini kerana zaman teknologi maklumat ini kebanyakan kita memiliki akaun media sosial dan paling tidak ada akaun Facebook.

Oleh itu, apa yang lebih penting bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa sindiket love scam atau apa sahaja sindiket, setiap individu perlu mengabaikan mesej-mesej daripada individu yang tidak dikenali. Jika kita tidak mula melayan mesej-mesej dengan orang tidak dikenali, masalah ini tidak akan melarat sehingga boleh menyebabkan kehilangan jutaan ringgit.

Selain itu juga, setiap individu perlu berhati-hati ketika berkomunikasi dan berkongsi maklumat dengan individu yang tidak dikenali terutama di media sosial tidak kira sama ada warga asing atau orang kita sendiri. Ini kerana, bukan sahaja ‘awang hitam’ sahaja yang mampu ‘mengayat’ dengan ayat manis malah rakyat tempatan juga banyak juga tidak terkecuali melakukan perbuatan sama.

Justeru itu, golongan wanita terutamanya perlu berhati-hati dan menghadkan diri melayari media sosial kerana di situ adalah lubuk kepada jenayah yang mengeksploitasi kelemahan wanita. Mengelakkan diri ditipu menuntut kepada kewajaran dan kewarasan akal berfikir. Jadi kita perlu berfikir dengan wajar dan bijak dalam membuat pertimbangan agar dapat mengelakkan diri daripada menjadi mangsa sindiket penipuan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here