Medium perniagaan secara atas talian semakin mendapat tempat di hati rakyat Malaysia oleh kerana urusan pembelian lebih mudah berbanding urus niaga biasa. Antara teknik perniagaan yang dilakukan oleh para peniaga di atas talian adalah dengan cara “PM tepi”.

Apakah yang dimaksudkan dengan perniagaan PM tepi? Kalau masih ada yang belum tahu apa itu ‘PM tepi,’ ia adalah istilah yang digunakan oleh penjual barangan secara online kepada pembeli yang meminta mereka menghantar mesej secara peribadi atau private message jika inginkan maklumat lanjut.

Budaya PM tepi yang semakin menjadi-menjadi

Namun begitu, cara perniagaan sebegini juga sebenarnya tidak memudahkan urusan para pembeli kerana sukar mendapatkan info lengkap berkenaan dengan barangan yang hendak dijual. Apa yang lebih penting sekali adalah harga barang berkenaan perlu dipaparkan terlebih dahulu.

Perniagaan secara PM tepi ini juga telah diberikan amaran keras oleh pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kepada para peniaga yang mengamalkan budaya ini. Buktinya, tindakan seorang pengarah syarikat menjual perabot dengan mengamalkan konsep ‘PM Tepi’ di Facebook telah membawa padah apabila beliau kini disiasat oleh KPDNHEP dan tindakannya itu boleh diberikan hukuman denda sebanyak RM50 ribu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail juga telah mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati untuk membeli produk atau melanggan perkhidmatan secara dalam talian yang ditawarkan oleh peniaga tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan menggunakan kaedah ‘PM Tepi’ bagi mengelak kes-kes penipuan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin

Justeru itu, sebagai langkah untuk memerangi budaya “PM tepi” ini pihak-pihak berkuasa yang terlibat perlu bersikap lebih tegas di dalam masalah ini. Hal ini kerana dengan langkah ini akan membuatkan para peniaga di luar sana untuk menjadi lebih berhati-hati, telus dalam urus niaga dan tidak mengulangi perkara yang sama.

Para pembeli juga diseru supaya lebih berhati-hati agar tidak mudah ditipu oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab. Sekiranya anda mendapati masih ada peniaga yang masih degil tentang perkara ini, segera laporkannya kepada pihak berkuasa supaya mereka akan dikenakan tindakan yang sepatutnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here