Kurang dari setahun dunia bakal menganjak ke tahun 2020. Suatu tahun yang agak keramat bagi negara Malaysia kerana pada 28 tahun yang lalu, Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah mensasarkan suatu visi dan misi berkenaan negara ini, iaitu Wawasan 2020.

Beliau secara komited menunjukkan kesungguhan untuk merealisasikan Wawasan 2020. Satu kapsul telah ditanam di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Rawang menghala ke utara dan dikatakan akan dibuka pada 31 Mei 2018. Namun walaupun hampir setahun berlalu, isi kandungan kapsul itu masih menjadi tanda tanya. Adakah Tun Dr Mahathir sudah menganggap bahawa setiap matlamat beliau berkenaan Wawasan 2020 tidak mampu dicapai pada tahun berkenaan?

TUGU peringatan dibina sempena perasmian penyempurnaan Lebuhraya Utara-Selatan pada 8 September 1994 terletak bersebelahan kapsul mengandungi dokumen penting yang ditanam Tun Dr Mahathir

Wawasan 2020 merupakan wawasan pembangunan negara diperkenalkan oleh kerajaan pimpinan Dr Mahathir Mohamad ketika pembentangan Rancangan Malaysia Keenam di Parlimen pada 1991. Ia bertujuan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara perindustrian dan maju sepenuhnya pada 2020 dengan matlamat mewujudkan masyarakat penyayang dan berbudaya menyayangi.

Tetapi Tun Dr Mahathir Mohamad ada menyatakan bahawa Malaysia tidak akan mencapai status negara maju menjelang tahun 2020 kerana terdapat salah guna kuasa dalam pentadbiran terdahulu. Agak tidak adil apabila kenyataan seperti ini dikeluarkan kerana semasa pemerintahan Perdana Menteri Keenam, Malaysia telah mengalami pertumbuhan dari segi ekonomi, pelaburan, pembangunan dan penambahbaikan infrastruktur.

Untuk mencapai status negara maju menjelang tahun 2020 memerlukan usaha semua pihak. Ekonomi Malaysia pada tahun 2019 tidak berpihak kepada negara kita. Malaysia dikategorikan sebagai sebuah negara ‘small and open economy’, iaitu negara kita ini kecil dan ekonomi kita pada dasarnya bersifat terbuka.

Bermakna keadaan ekonomi Malaysia sangat bergantung kepada keadaan ekonomi dunia. Ini kerana kebanyakkan kekayaan Malaysia datang daripada aktiviti eksport. Bank Negara Malaysia (BNM) sendiri mengeluarkan kenyataan bahawa tahun 2019, Malaysia bakal berdepan dengan cabaran ekonomi kerana jangkaan pertumbuhan global yang perlahan.

Nasib graduan Malaysia masih lagi menjadi tanda tanya apabila kebanyakan daripada pelajar lepasan universiti ini rata-ratanya kurang mendapat tempat di dalam sektor pekerjaan samada di dalam sektor swasta mahupun kerajaan.

Untuk mencapai sasaran sebagai sebuah negara maju, kerajaan perlu mewujudkan peluang pekerjaan yang banyak agar tiada masalah pengangguran yang serius di kalangan rakyat Malaysia. Mengikut Jabatan Perangkaan Negara, bilangan penganggur di Malaysia yang direkodkan pada Januari 2019 adalah seramai 515 600 ribu orang.

Mengikut matlamat Wawasan 2020, kerajaan mahu mewujudkan masyarakat yang penyayang dan adil dalam ekonomi dengan pengagihan kekayaan yang sama rata. Namun sekarang masih wujud lagi sikap berat sebelah di kalangan majikan yang berlainan bangsa untuk memberi peluang pekerjaan kepada bangsa lain. Berat sebelah dari segi gaji, pangkat dan kelebihan-kelebihan lain. Bermakna matlamat Wawasan 2020 dari segi keadilan ekonomi masih banyak lagi yang perlu diperbaiki.

Gambaran pelukis komik Malaysia tahun 1997 mengenai rupa bandar raya KL pada tahun 2020

Sikap segelintir rakyat Malaysia yang masih memperjuangkan LGBT juga menunjukkan seperti kita kembali ke tamadun lama seperti zaman Romawi yang kaumnya di Pompeii diazabkan oleh Allah S.W.T kerana mengamalkan ajaran seks songsang. Adakah ini kemajuan yang dimaksudkan oleh rakyat Malaysia? Iaitu melanggar fitrah semula jadi manusia.

Kerajaan dan rakyat Malaysia memerlukan banyak lagi usaha untuk mencapai matlamat Wawasan 2020. Mentaliti pemimpin-pemimpin kerajaan dan rakyat Malaysia yang sering menyalahkan pihak lain juga perlu diubah. Untuk mencapai Wawasan 2020  bukan bermakna Malaysia perlu mempunyai kereta terbang yang futuristik, tetapi bagaimana usaha kerajaan untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia dan seterusnya memperbaiki ekonomi negara.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here