Wawasan 2020 ialah merupakan wawasan pembangunan negara yang diperkenalkan oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika pembentangan Rancangan Malaysia Keenam di Parlimen pada 1991. Ia bertujuan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara perindustrian dan maju sepenuhnya pada 2020 dengan matlamat mewujudkan masyarakat penyayang dan berbudaya menyayangi.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menetapkan sasaran baharu untuk Malaysia menjadi negara maju dan contoh kepada dunia menerusi Wawasan 2025. Sasaran baharu ini adalah kerana Malaysia tidak akan mencapai status negara maju menjelang tahun 2020 berikutan terdapat salah guna kuasa dalam pentadbiran terdahulu. Polisi-polisi yang diperkenalkan sebelum ini telah menyimpang dan tidak sesuai dengan dasar untuk mencapai Wawasan 2020.

Keratan Akhbar dalam Berita Harian pada 9 Mei 2019 : 2025 SASARAN MALAYSIA MAJU

Secara umumnya, matlamat Wawasan 2020 sama seperti Wawasan 2025 antaranya adalah mengutamakan aspek inklusif dan kesejahteraan rakyat. Dalam hal ini, semua lapisan masyarakat perlu merasai pembangunan ekonomi negara. Tiada lagi sikap berat sebelah di kalangan majikan yang berlainan bangsa untuk memberi peluang pekerjaan, gaji, pangkat dan kelebihan-kelebihan lain kepada bangsa-bangsa lain. Selain itu, pembangunan wilayah yang seimbang meliputi seluruh kawasan di Malaysia turut diutamakan dengan merangsang ekonomi dan menarik pelaburan melibatkan semua negeri dan kawasan demi kebaikan penduduk Malaysia.

Penekanan terhadap aspek modal insan terus diberi perhatian. Sememangnya tidak ada sesiapa pun boleh menafikan keupayaan modal insanlah yang akan memacu agenda kesejahteraan rakyat dan negara. Modal insan yang berkualiti akan mampu memberi impak kepada organisasi, rakyat dan negara. Mereka ini perlu berpengetahuan tinggi, kreatif, inovatif, berkemahiran serta mampu mengubah kedudukan ekonomi negara daripada sebarang tekanan mahupun terperangkap pada takuk yang sama.

Berita Astro Awani pada 8 Februari 2019: Kerjasama, perpaduan kaum penentu capai status negara maju 2025 – Tun M

Selain itu, pertumbuhan ekonomi juga terus diperkukuhkan dengan melibatkan agenda merancakkan aktiviti ekonomi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) terutamanya dalam era Revolusi Perindustrian Keempat (IR4). PKS yang merupakan antara enjin ekonomi Malaysia perlu lebih cekap dan mengambil peluang yang sedia ada serta meningkatkan daya saing mereka melalui produktiviti dan rantaian nilai yang lebih tinggi bukan setakat di peringkat domestik tetapi juga menembusi pasaran global dengan jayanya.

Wawasan ini mampu menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan negara perindustrian dalam tempoh 30 tahun. Sebagai contoh, KDNK Malaysia dijangka meningkat kira-kira RM920 bilion menjelang tahun 2025 berbanding RM115 bilion pada tahun 1990 dan ini adalah bersandarkan kepada keupayaan Malaysia untuk merealisasikan wawasan tersebut. Ini menunjukkan langkah proaktif yang diambil oleh kerajaan dengan mengubah sasaran wawasan untuk dijayakan menjelang tahun 2025 adalah pendekatan yang jujur dan berani bagi membolehkan seluruh dasar kerajaan dapat diselarikan semula dengan aspirasi rakyat agar matlamat dan halatuju Wawasan 2025 dapat dicapai. Oleh itu, kerajaan perlu memastikan kejayaan diteruskan dengan lebih mampan serta ditadbir urus dengan lebih baik demi kelangsungan masa hadapan negara dan memenuhi harapan menggunung rakyat dalam sebuah masyarakat Malaysia Baharu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here