Waktu Bekerja Fleksi (WBF) boleh ditakrifkan sebagai waktu kerja yang telah ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) khusus buat penjawat awam di negara ini. Pelaksanaan projek rintis ini telah mula dijalankan pada 1 Mac yang lalu di mana ia melibatkan pegawai yang mengamalkan waktu kerja pejabat.

Di antara negeri-negeri yang terlibat adalah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Putrajaya manakala jabatan Persekutuan bagi negeri yang terlibat adalah Perlis, Perak, Selangor, Johor, Terengganu, Sarawak dan Sabah. Pelaksanaan WBF ini merupakan sebahagian daripada inisiatif pembaharuan perkhidmatan awam dan terpakai kepada semua pegawai yang mengamalkan Waktu Bekerja Pejabat di kementerian atau jabatan.

Pelaksanaan dasar ini dimulakan dengan para pegawai akan mengetik kehadiran mereka di antara pukul 7.30 pagi hingga 8.30 pagi. Sekiranya melebihi waktu yang ditetapkan maka pegawai tersebut dianggap lewat. Sementara itu, pelaksanaan kebenaran pulang awal satu jam kepada pegawai wanita mengandung dan suami sebagaimana ditetapkan dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 11/ 2017 adalah terpakai bagi projek rintis ini.

Pelaksanaan Waktu Bekerja Fleksi (WBF) dilaksanakan pada 1 Mac 2019 sehingga ke suatu tarikh yang akan diumumkan

Selain itu, garis panduan lain yang turut ditetapkan dalam WBF ialah bagi kementerian atau jabatan yang mempunyai perkhidmatan kaunter, ketua jabatan hendaklah memastikan perkhidmatan itu tidak terjejas dengan pelaksanaan projek rintis ini. Bagaimanapun, projek rintis ini tidak terpakai untuk semua pegawai yang berkhidmat di sekolah atau institusi pendidikan dan fasiliti kesihatan.

Namun, pelaksanaan projek rintis ini ternyata mendapat pelbagai reaksi dari rakyat Malaysia khususnya para penjawat awam. Ada di antaranya yang menyokong usaha kerajaan dalam melaksanakan WBF ini dan mereka berpendapat bahawa pelaksanaan projek rintis ini dapat memberikan mereka lebih ruang waktu untuk berehat atau menguruskan urusan peribadi lain. Manakala sebahagian yang mengkritik projek ini menganggap pelaksanaan WBF ini tidak praktikal disebabkan tempoh waktu yang dipendekkan sedangkan setiap hari mereka terpaksa mengharungi kesesakan jalan yang akan menyebabkan kelewatan.

Peranan Ketua Jabatan dalam projek rintis ini perlu diperhebatkan bagi menjamin kualiti di kalangan penjawat awam

Adakah dengan pelaksanaan projek rintis ini dapat menambahkan kecekapan dan produktiviti perkhidmatan kerajaan? Seharusnya kerajaan dan pihak JPA perlulah meneliti dengan lebih tepat mengenai hal ini dari segenap aspek. Walaupun dengan pelaksanaan WBF ini dikatakan dapat menangkis budaya malas dan ‘kuat mengular’ di kalangan penjawat awam, namun ia perlu dikaji dengan lebih tepat dan jitu. Sekiranya pelaksanaan WBF ini dilakukan tetapi tiada perubahan yang berlaku, sudah pasti ia akan mendatangkan kerugian kepada pentadbiran kerajaan.

Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan bahawa pelaksanaan WBF ini sedikit sebanyak dapat meningkatkan produktiviti para penjawat awam. Ini kerana dengan waktu kerja fleksi yang telah ditetapkan, dapat menerapkan nilai disiplin serta meningkatkan integriti di kalangan penjawat awam sekaligus mengubah stigma masyarakat terhadap tatacara kerja mereka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here