Baru-baru ini, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) telah mencadangkan pengenalan sistem 2 syif di klinik kerajaan. Hal ini kerana, pada masa ini kebanyakan klinik beroperasi selama 15 jam dengan hanya kehadiran seorang doktor. Selain itu, terdapat juga di kalangan doktor yang terpaksa bekerja sehingga menjangkau lebih daripada 30 jam.

Oleh itu, isu ini telah mendapat perhatian daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi meneliti perkara ini dalam memastikan kebajikan kesemua pengamal perubatan termasuk jururawat dan kakitangan hospital terjaga. Selain itu, ia juga sebagai langkah dalam membantu mengurangkan kesesakan di Jabatan Kecemasan dan Trauma (EDT).

Kekurangan kepakaran dan kakitangan di Jabatan EDT adalah salah satu faktor yang menyebabkan berlakunya kesesakan di unit tersebut. Oleh itu, dengan adanya 2 kumpulan doktor dan jururawat yang bekerja syif, ia akan menyebabkan berlakunya peningkatan kecekapan perkhidmatan.

Tugas mereka yang melibatkan nyawa manusia adalah satu tanggungjawab yang sangat berat. Sistem yang diguna pakai sekarang telah menyebabkan mereka terpaksa bekerja lebih masa di mana mereka cenderung untuk melakukan kesilapan kerana terlalu keletihan. Sehubungan dengan itu, sekiranya kaedah 2 syif ini dapat diwujudkan ia dapat mengurangkan keletihan dalam kalangan doktor dan jururawat serta mempercepatkan perkhidmatan yang diberikan.

Sistem 2 syif bantu kesesakan di Jabatan EDT

Di samping itu, ia juga sebenarnya sebahagian daripada isu kebajikan yang perlu diberikan perhatian. Bebanan kerja secara berlebihan bukan sahaja memberi kesan kepada kualiti kerja mereka malah ia juga akan memberi impak negatif kepada motivasi dan kualiti kerja seterusnya memberi kesan kepada pesakit.

Sementara itu, walaupun tujuan utama kaedah ini juga adalah untuk meningkatkan perkhidmatan di unit ETD, aspek keselamatan mereka juga perlu diambil kira terutamanya bagi pekerja wanita yang perlu bekerja di syif sebelah malam. Cadangan ini juga boleh dikatakan sebagai salah satu cara terbaik buat masa ini bagi menyelesaikan permasalahan ini.

Sistem waktu bekerja kakitangan perubatan perlu dikaji secara menyeluruh

Masalah doktor dan jururawat terpaksa bekerja dalam tempoh lama bukanlah satu isu baru yang dibangkitkan. Namun, sehingga kini ia seolah-olah menemui jalan buntu kerana saban tahun permasalahan ini masih tidak dapat diselesaikan. Melihat kepada situasi yang semakin meruncing ini, kita perlu sedar dan akui bahawa keletihan melampau yang dihadapi petugas perubatan bukan sahaja mengancam nyawa mereka malah pesakit.

Justeru itu, kerajaan seharusnya tampil segera dengan langkah yang lebih proaktif bagi menangani isu ini. Mungkin sudah tiba waktunya supaya KKM meneliti semula sistem waktu bertugas doktor-doktor supaya ia tidak memudaratkan mana-mana pihak. Pepatah yang mengatakan ‘mencegah lebih baik dari mengubati’ perlu dijadikan panduan supaya tidak ada sebarang kesulitan lain yang akan timbul pada masa akan datang. Walaupun ‘jubah putih’ yang dipakai mereka sarat dengan tanggungjawab, kebajikan dan keperluan mereka juga tidak seharusnya dipandang enteng.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here