‘Lopping’ atau lompat parti bukan lagi isu baharu dalam arena politik Malaysia. Sebelum ini bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhamad Taib yang keluar daripada UMNO pada tahun 2013 untuk menyertai PAS kemudian meninggalkan parti itu dan menganggotai PKR pada 2015 mengambil semula keputusan untuk kembali pada UMNO.

Tetapi pada ketika itu, lompat parti masih belum menjadi ‘acara rasmi’. Selepas PRU-14 ‘trend’ ini semakin menjadi-jadi terutamanya di kalangan pemimpin di dalam parti UMNO. Sering menjadi persoalan, mengapa ada di kalangan ahli-ahli Parlimen ini bertindak untuk melompat ke parti lain? Ini adalah suatu tindakan yang langsung tidak bermoral dan menjadi racun demokrasi.

Antara ahli politik yang memilih untuk lompat parti-sumber AbuLeman

Datuk Seri Hamzah (Larut), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (Mersing), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Datuk Shahbudin Yahaya (Tasek Gelugor), Datuk Mohamad Fasiah Fakeh (Sabak Bernam) dan Datuk Seri Ikmal Hashim Abdul Aziz (Tanah Merah) antara Ahli Parlimen yang pernah berada di dalam parti UMNO. Pada PRU-14 nama-nama ini juga menang atas tiket UMNO.

Mereka bertanding atas nama parti dan bukan individu. Segala jentera, perbelanjaan dan  apa-apa berkaitan dengan penyertaan mereka dalam PRU-14 diuruskan oleh parti. Jadi kemenangan mereka adalah atas nama parti. Tidak adil jika individu-individu ini masih lagi memegang jawatan Ahli Parlimen yang dimenangi atas nama UMNO.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa mengeluarkan kenyataan pada 19 Mac 2019 bahawa parti itu tetap akan meneruskan tindakan untuk menyaman bekas ADUN dan Ahli Parlimen yang melompat parti atas masalah kos yang tinggi.

Namun Penganalisis Politik dan Perundangan, Prof Datuk Dr Abdul Halim Sidek berpendapat tindakan itu adalah ‘sia-sia’ kerana tiada peruntukan undang-undang di negara ini yang menghalang mana-mana Ahli Parlimen atau ADUN daripada melompat parti.

Keratan akhbar mengenai ahli politik yang lompat parti-sumber Sinar Online

Maka kerajaan perlu menggubal satu undang-undang untuk menangani masalah ini. Ramai pihak berpendapat Akta Lompat Parti wajar diwujudkan untuk menjamin kestabilan politik dan pentadbiran negara bagi jangka masa panjang. Akta ini akan menjaga integriti seseorang wakil rakyat.

Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Muzaffar Syah Mallow, undang-undang khas ini dilihat mampu menghentikan tindakan pihak tertentu yang sewenang-wenangnya bertindak melompat parti.

Sememangnya wujud risiko lompat parti apabila tidak ada parti yang memiliki majoriti besar di DUN atau Parlimen. Mengambil contoh situasi di DUN Perak. BN memegang 27 buah kerusi, parti PAS mempunyai tiga buah kerusi manakala Pakatan Harapan mendominasi DUN Perak dengan majoriti kerusi 29 buah. Kerajaan negeri ini boleh tumbang bila-bila masa jika ada wakil rakyat yang bertindak untuk beralih arah ke parti lain.

Kerajaan Negeri Perak tidak keseorangan. Dun Kedah, Melaka dan Negeri Sembilan antara kerajaan negeri yang agak ‘gayat’ jika ada di kalangan wakil rakyat mereka yang bertindak untuk ‘curang’ daripada parti asal. Pasti kerajaan negeri akan berpindah tangan.

Rakyat tidak mahu politik negara berada di dalam keadaan ‘huru-hara’. Maka bagi menjamin kedudukan setiap parti di dalam DUN atau Parlimen, Akta Lompat Parti wajar diwujudkan dan diwartakan. Undang-undang ini boleh diklausakan dalam Akta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Justeru itu, jika dibiarkan perkara ini berterusan, bukan sahaja integriti ahli Parlimen dan parti yang diwakili akan terjejas, bahkan ianya juga mampu memberi impak kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara.

Bayangkan jika Kerajaan Negeri Perak tiba-tiba bertukar tampuk pimpinan? Bagaimana dengan dasar-dasar baharu yang dirangka oleh kerajaan negeri yang asal. Oleh itu, kerajaan Persekutuan perlu lakukan sesuatu sebelum ada tindakan-tindakan drastik daripada mana-mana ahli Parlimen atau ADUN yang mahu mensabotaj kerajaan yang sedia ada.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here