Kejadian pencemaran udara di Pasir Gudang benar-benar membuka mata pelbagai pihak. Mana tidaknya, tahun ini saja sudah dua kali kejadian sama berlaku di Pasir Gudang. Ini menunjukkan bahawa ada benda yang tidak kena dengan tahap pengawalan keselamatan penduduk daripada kilang-kilang kimia di kawasan setempat.

Ekoran daripada kejadian ini, pelbagai spekulasi telah timbul sehingga mendatangkan kecaman kepada kerajaan. Kejadian pencemaran yang berlaku dalam jangka masa yang dekat telah menimbulkan keraguan netizen terhadap kerajaan khususnya kerajaan negeri dalam menangani permasalahan tersebut.

Pencemaran Pasir Gudang bukan sahaja menjejaskan kesihatan penduduk malah mampu mengancam nyawa sehingga memaksa kerajaan mengumumkan penutupan sekolah buat sementara waktu. Oleh itu, kerajaan telah bersetuju membenarkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) setiap negeri mewujudkan pasukan pemantau bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Sementara itu, pakar kejuruteraan kimia, alam sekitar dan ekologi manusia telah tampil memberikan cadangan supaya memperluaskan jarak zon penampan yang sesuai dan selamat di antara kawasan perindustrian dan perumahan kepada satu hingga dua kilometer (km). Hal ini kerana mengikut peraturan sedia ada, jarak selamat di antara penempatan dan kawasan industri adalah 50 meter bagi industri ringan, 250 meter industri sederhana dan 500 meter bagi industri berat.

Pencegahan pencemaran perlu dilakukan secara konsisten

Apa yang berlaku di Pasir Gudang sudah cukup untuk membuktikan bahawa jarak di antara kawasan perindustrian dan sekolah serta tempat tinggal adalah sangat penting. Jarak zon penampan yang tidak cukup memisahkan kawasan perumahan, sekolah dan hospital dengan kawasan perindustrian boleh menyebabkan pencemaran alam seperti yang terjadi di Pasir Gudang.

Selain itu, kawasan perumahan yang terlalu dekat dengan zon perindustrian akan menyebabkan tanah dan sumber air berisiko tinggi untuk tercemar. Situasi ini sekaligus akan memberikan kesan buruk terhadap sumber makanan dan minuman kawasan setempat seterusnya mampu memberikan kesan buruk kepada kesihatan penduduk dalam jangka masa panjang.

Apa yang berlaku di Pasir Gudang seharusnya sudah cukup untuk menyedarkan semua pihak berwajib bahawa langkah pencegahan perlu dilakukan segera. Kejadian itu perlu dijadikan iktibar supaya ia tidak berterusan dan berulang di kawasan lain.

Oleh itu, kerajaan sewajarnya mewajibkan JAS di setiap negeri mengambil langkah segera dengan meneliti semula jarak zon penampan kilang dan kawasan penempatan di negeri masing-masing. Tindakan segera dalam melaksanakan peraturan zon penampan dilihat sebagai sesuatu yang kritikal untuk dilaksanakan dalam memastikan kesejahteraan penduduk penempatan di semua kawasan.

Kerajaan sedia teliti memperluaskan zon pemanpan sedia ada

Di samping itu, pasukan pemantau yang akan ditubuhkan kelak juga perlu memainkan peranan penting dalam memastikan setiap pengusaha kilang mengikut peraturan zon penampan. Tindakan tegas dan hukuman wajar dilaksanakan bagi mana-mana pengusaha atau individu yang melanggar undang-undang supaya semua pihak sedar bahawa kerajaan serius dalam menjaga alam sekitar serta kesejahteraan rakyat.

Pencemaran di Pasir Gudang mungkin hanya salah satu kejadian yang paling mendapat liputan meluas walaupun hakikatnya terdapat banyak pencemaran telah berlaku sebelum ini. Oleh itu, seharusnya semua pihak berwajib terus memberikan fokus terhadap proses pencegahan pencemaran bagi memastikan kejadian seperti ini tidak berulang pada masa akan datang. Semua pihak perlu memainkan peranan sebaik mungkin bagi mengurangkan risiko pencemaran.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here